JOHOR BAHRU: Sebuah kereta yang digunakan untuk menjalankan kerja-kerja memasang bahan kempen Barisan Nasional (BN) dilanggar dari belakang di beberapa lokasi bermula di kawasan Taman Mount Austin di sini awal pagi tadi sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian bonet dan bampar.

Setiausaha Kerja UMNO Johor Datuk Pandak Ahmad berkata sejurus dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton kira-kira 4 pagi, pemandu termasuk dua penumpang kereta jenis Proton Gen-2 itu berasa panik dan meneruskan pemanduan.

Bagaimanapun mereka terus diekori pacuan empat roda itu dan beberapa kenderaan pelbagai model lain sebelum sekali lagi dilanggar setibanya di Jalan Nibong 13, Taman Daya.

"Petugas tidak berani keluar kereta dan terus melarikan diri tetapi tetap diekori kenderaan pacuan empat roda itu dan dilanggar buat kali ketiga dari belakang apabila tiba di Adda Heights," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Setia Indah hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Pandak turut melahirkan rasa kecewa kerana papan iklan yang menjadi bahan kempen BN di Bandar Selesa Jaya di sini dirosakkan dan dirobohkan pihak tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kedua-dua kejadian dan sedang menjalankan siasatan.

Sementara itu, di Taman Universiti Skudai di sini, seorang pemandu Grab ditahan kerana dipercayai membakar bendera sebuah parti politik di tepi jalan kawasan berkenaan pada 12.10 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Fariz Ammar Abdullah berkata siasatan mendapati lelaki berusia 32 tahun terbabit bertindak demikian atas motif peribadi dan tidak melibatkan pihak lain.

Dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung perbuatan khianat melibatkan kain rentang sebuah parti politik yang dirosakkan di Kampung Gembut, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi.

-- BERNAMA