Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Terengganu disaran wujud pelan Generasi Penamat Dadah

17.08.26 | Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2026. MPBN Daerah Kemaman dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kemaman. Kredit : Facebook Majlis Belia Daerah Kemaman
Mohd Izham berkata pelan bersepadu jangka panjang itu perlu menetapkan sasaran dan tempoh masa yang jelas untuk mengurangkan seterusnya menamatkan masalah penyalahgunaan dadah di Terengganu. - Gambar Facebook Mohd Izham Ahmad
Advertisement

CHUKAI: Kerajaan Negeri Terengganu disaran mewujudkan pelan induk Generasi Penamat Dadah membabitkan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi menangani isu penyalahgunaan dadah yang masih berada pada tahap tinggi di negeri itu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kemaman merangkap Bendahari Kehormat Majlis Belia Malaysia Mohd Izham Ahmad berkata pelan bersepadu jangka panjang itu perlu menetapkan sasaran dan tempoh masa yang jelas untuk mengurangkan seterusnya menamatkan masalah penyalahgunaan dadah di Terengganu.

Beliau berkata usaha berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan pendekatan mendidik yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Walaupun berlaku penurunan kadar penyalahgunaan dadah, kadar tersebut masih tinggi dan direkodkan sebagai yang tertinggi di Malaysia.

“Pada masa ini semua pihak perlu menggembleng tenaga supaya kadar penyalahgunaan dadah dapat terus diturunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izham menyifatkan kedudukan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia berdasarkan Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dalam masa sama merekodkan kadar nisbah penyalahgunaan dadah tertinggi sebagai satu keadaan yang perlu diberi perhatian serius.

"Usaha menangani isu itu perlu diperkukuh secara menyeluruh agar kesejahteraan masyarakat dapat dikekalkan dan generasi muda bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat meningkatkan kerjasama dengan kerajaan terutama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan melaporkan aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata AADK juga mungkin perlu memperkemaskan sistem aduan bagi memastikan identiti pengadu atau pelapor awam dilindungi dengan tahap kerahsiaan yang tinggi.

“Semua pihak, terutama orang awam, harus menjadi mata dan telinga kepada agensi penguat kuasa supaya perkara ini dapat dibendung dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Semalam media melaporkan Terengganu merekodkan kadar nisbah penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk bagi tempoh suku kedua tahun 2026.

​Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata walaupun jumlah keseluruhan kes penagih dan penyalah guna dadah di negeri itu menurun 1.33 peratus iaitu 9,169 orang berbanding 9,293 orang bagi tempoh sama 2025, keadaan itu masih memberi cabaran kepada pihak penguat kuasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement