GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kerjasama PH dan Gerakan Tanah Air (GTA), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan berlaku.

"Kerjasama apa? Bila saya kata (terbuka untuk bekerjasama dengan GTA)? Saya kata untuk berbincang dengan sesiapa pun boleh 'bincang'. Kalau diperlukan (berbincang) hari ini saya ada di Pulau Pinang, lusa di Sarawak.

"Bagi saya lebih baik menemui rakyat dalam keadaan sekarang ini. Usul adakan pertemuan itu, seolah-olah belum ada pertemuan, (sedangkan) berpuluh kali sudah ada pertemuan sebelum ini," katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau ditemui selepas menghadiri program makan malam Majlis Pimpinan Negeri PKR di Spice Arena, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia bertemu Anwar, bagi mengadakan rundingan untuk kerjasama menghadapi PRU15.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima permohonan untuk berjumpa daripada pihak Dr Mahathir, Anwar enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata beliau tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir, namun menegaskan perkara yang ditekankan PH ialah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Anwar berkata kemungkinan besar penyandang Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, akan mempertahankan kerusi itu pada PRU15 nanti.

"...kemungkinan menuju arah itu (Nurul Izzah pertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh). Kemungkinan besar...kemungkinan yang amat besar," katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Nurul Izzah akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh atau dihantar ke Parlimen Ampang, bagi menentang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga penyandang di situ.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh menjadi kubu kuat Anwar dan keluarganya, yang memegang kerusi itu sejak 1982. Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti lebih 15,000 undi.

-- BERNAMA