Ini kerana Ketua Program Sains Politik UKM, Dr Muhammad Nadzri Mohamed Noor berpendapat bahawa seseorang perwakilan tidak mampu untuk menguruskan sesebuah kawasan dengan baik sekiranya jumlah penduduknya terlalu ramai.
Menurut beliau, limitasi penduduk dalam sesebuah kawasan pilihan raya ada termaktub dalam Perlembagaan namun perkara itu telah dipinda.
“Perlembagaan kita yang asal ada menyatakan bahawa seharusnya mana-mana kawasan pilihan raya tidaklah boleh melebihi atau kurang daripada 25 peratus daripada purata jumlah penduduk di semua kawasan.
“Katalah purata penduduk di kawasan Parlimen di Malaysia ini 100,000, maka sesebuah kawasan itu tidak boleh melebihi 175,000 dan tidak boleh kurang daripada 75,000.
“Namun apabila ditarik klausa tersebut pada tahun 70-an, kalau tak silap saya, akhirnya inilah yang berlaku apabila ada Parlimen yang pengundinya 30,000 dan ada pula yang 300,000,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Beliau melihat Parlimen Bangi sebagai contoh paling nyata di mana penduduknya melebihi 688,000 dan hanya dibahagikan kepada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Ramal, Kajang dan Balakong.
Dengan jumlah pengundinya sekitar 300,000, seumpamanya Parlimen Bangi ini wajar mempunyai 10 orang Ahli Parlimen, ujar Muhammad Nadzri.
Oleh hal yang demikian, jelas beliau, berlaku kesulitan komunikasi dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk apabila terlalu banyak isu setempat diletakkan di bahu seseorang perwakilan itu.
“Maka bagi saya, tiba masanya selepas PRU ini, mana-mana parti yang memerintah perlu memikirkan ini sebagai salah satu agenda transformasi dan reformasi negara kita di masa hadapan.”