Menurutnya, ia disebabkan kedua-dua parti itu mempunyai prinsip perjuangan yang amat berbeza meskipun berada dalam satu kerajaan yang sama dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengulas mengenai kenyataan calon PH, Mohamad Sofee Razak, yang berharap agar BN memberi laluan kepada parti itu bagi berhadapan dengan saingan sengit PN.
Bagaimanapun, calon BN, Datuk C Sivaraj menyatakan bahawa calon PH sewajarnya memberikan laluan kepada beliau untuk bertanding memandangkan dirinya sudah lama melaksanakan gerak kerja di kawasan Parlimen terbabit.
"(Beri laluan) itu juga satu isu dan kepada pengundi Padang Serai, (saya mahu ingatkan) sekarang ini Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berada di dalam satu kerajaan, mana-mana pihak (jika) hendak tarik diri, (dipersilakan), kalau tarik diri kedua-dua (calon BN dan PH itu) lagi elok.
"Ini disebabkan kedua-duanya bertentangan prinsip perjuangan, Pakatan Harapan begini, Barisan Nasional begini, jadi kita Perikatan Nasional (sahaja yang) kekal dengan dengan prinsip perjuangan kita.
"Saya (juga) yakin pengundi Padang Serai sudah celik dan tahu untuk pilih parti mana yang boleh membela mereka di dalam Parlimen nanti," kata Azman.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas di Sungai Seluang, Padang Serai pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Azman yang juga ADUN Lunas menyifatkan tindakan calon PH dan BN menuduhnya sebagai pengkhianat dalam kempen masing-masing sebagai perbuatan pihak yang sudah kehabisan modal untuk diketengahkan kepada pengundi.
"Saya sebut beberapa kali dalam ceramah (saya di Padang Serai), perjuangan dalam Pakatan Harapan dahulu tidak selari dan seiring dengan jiwa perjuangan saya, jadi saya ambil keputusan untuk bersama Perikatan Nasional.
"Jadi, hendak berlawan ini gunalah isu yang baik sikit, gunalah isu yang (boleh) diterima oleh pengundi, saya yakin rakyat khususnya pengundi saya pada (tahun) 2018, sedar akan keperluan memilih satu parti yang prihatin, bersih, stabil, (serta) menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum dalam negara," katanya.
PRU15 bagi Parlimen Padang Serai, yang akan diadakan pada 7 Disember depan bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru.
Ia melibatkan Azman, Sivaraj, Mohamad Sofee, Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Amanda AK (Bebas) dan Mohd Bakri Hashim (Warisan).