KUALA LUMPUR: Tiket pengangkutan awam bagi kebanyakan operator pengangkutan awam laris dan hampir habis dijual berikutan pengundi bersemangat untuk pulang ke kampung untuk menunaikan kewajipan sebagai warganegara bertanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),19 Nov ini.

Negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum manakala Kementerian Pengajian Tinggi memberi pelepasan selama lima hari kepada pelajar bermula 17 hingga 21 Nov untuk menggalakkan mereka mengundi.

Tinjauan Bernama di pelbagai laman web jualan tiket bas komersial mendapati laluan ke Pantai Timur dan utara telah habis dijual.

Jurucakap Sani Express berkata tiket bas telah habis dijual untuk tempoh 16 hingga 21 Nov ini kerana pengundi membuat pembelian sejak pengumuman tarikh mengundi pada 20 Okt bagi mengelakkan daripada terlepas peluang untuk mengundi.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya akan menyediakan bas tambahan bergantung kepada permintaan.

"Mengikut sistem kami, kita akan menambah sebuah bas ke utara, begitu juga ke Pantai Timur. Berita baiknya, kami juga akan menambah sebuah bas ke setiap destinasi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, masih terdapat alternatif lain untuk pulang ke kampung meskipun dengan tempat duduk yang terhad seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menawarkan perkhidmatan tren khas tambahan ke Pantai Timur (716 tiket) dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang menyediakan 2,520 tiket.

KTMB berkata menurut data terkini jualan tiket ETS dan KTM setakat 9 Nov, sebanyak 93 peratus tiket telah dijual bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak; ke Butterworth, Pulau Pinang (83 peratus); Padang Besar, Perlis (77 peratus) manakala 96 peratus tiket bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.

Malaysia Airlines pula akan meningkatkan penerbangan daripada 26 ke 44, selain menaik taraf perkhidmatan penerbangan domestik daripada 16 kepada 24 penerbangan menggunakan pesawat berbadan lebar A330 di beberapa laluan meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata tempahan Malaysia Airlines telah melonjak sebanyak tujuh peratus berbanding purata hariannya, dengan hampir 70,000 tempahan penumpang sejak pelancaran "Jom Balik Mengundi" pada 20 Okt.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu telah meningkatkan kapasiti sebanyak 30 peratus ke destinasi domestik utama di Semenanjung seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu serta Sabah dan Sarawak,

"Terdapat 140,000 tempat duduk disediakan dengan mengoptimumkan pesawat kami bagi menyokong pergerakan pengangkutan udara melalui Malaysia Airlines semasa PRU15," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA