Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini.
"Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan akan mengadakan proses pengundian bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram pada 21 November 2022 (Isnin) susulan daripada penggantungan proses pengundian pada 19 November 2022 (Sabtu) disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan," tulis kenyataan itu.
Sejumlah 12 pusat mengundi bagi Parlimen Baram, Sarawak dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, selepas ia ditangguhkan sebelum ini akibat faktor cuaca.
Waktu mengundi bermula dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari atau 2 petang, bergantung kepada pusat mengundi masing-masing.
Pusat mengundi terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah, SK Long Luteng, Rh TK Matthew Belulok Lalo, Kpg Lepo Gah, SK Long Sait, SK Long Tungan, SK Long Moh, SK Long Mekabar, SK Long Jekitan, SK Long Lamei, SK Lio Mato dan SK Long Banga.
Rh TK John Jau Wan di Long Semiang turut dibuka sebagai pusat mengundi tambahan.
BACA: PRU15: Proses undi di 11 Pusat Mengundi Parlimen Baram digantung - SPR
Pada Sabtu, sejumlah 11 Pusat Mengundi di Parlimen Baram telah digantung susulan keadaan cuaca yang tidak baik.
Menurut SPR, petugas-petugas tidak dapat sampai ke lokasi bertugas sama ada melalui udara, darat dan air.