Tidak mengharapkan calon yang popular semata-mata, tetapi mereka lebih berharap sesiapa sahaja yang menduduki kerusi itu nanti lebih memahami maksud dan fungsi sebenar keprihatinan yang tidak bermusim kepada rakyat.
Bukan khusus dituju kepada Ahli Parlimen yang sedia ada, tetapi perkara itu juga diharapkan pada pemimpin di semua peringkat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan jabatan kerajaan.
Bagi mereka, sikap prihatin bermusim yang sinonim dengan kempen pilihan raya tidak harus menjadi amalan sedangkan ia membabitkan nasib rakyat.
Ketika kru Astro AWANI mendekati kumpulan yang sebahagiannya golongan muda, rata-ratanya mengakui rasa dipinggirkan, malah bantuan yang dihulur oleh pihak tertentu kadang kala bersifat 'terpilih'.
Lebih perit, pemimpin yang pernah menjenguk keadaan mereka dahulu tidak lagi kelihatan selepas musim pilihan raya berakhir.
"Masa awal-awal dulu, iya lah datang tunjuk muka, dan (janji) akan bantu... tapi janji manis politik tu semua. Sedangkan (selepas itu) langsung dah tak ada datang," keluh Mohd Azrin Abdul rahim, 48, yang mula mencari rezeki di laut sejak usia muda lagi.
Dia juga mendakwa bantuan yang disalur menerusi agensi kerajaan juga tidak menyeluruh dan hanya untuk 'golongan tertentu'.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Suzaimi Mohd Huzaimi, 29, pula berharap agar budaya politik sekadar meraih undi itu sudah tidak sepatutnya berlaku lagi.
Sebagai nelayan pesisir katanya, bantuan seperti kelengkapan alatan menangkap ikan dan bot yang perlu dinaik taraf sangat diperlukan memandangkan ia melibatkan kos tinggi.
"Setiap kali pilihan raya, kami pilih calon dan mengundi. Jadi ubahlah cara politik tu. jangan setiap kali nak pilihan raya baru datang dan berjanji," katanya.
Kebanyakan mereka di pangkalan pekan Port Dickson itu berkata, kawasan yang menjadi pusat melabuhkan bot mereka sejak sekian lama itu juga bakal dipindahkan pada bila-bila masa, memandangkan tapak berkenaan akan dibangunkan oleh sebuah syarikat pemaju sebagai pemiliknya.
Justeru bagi mereka, janji wakil rakyat yang pernah diberikan sebelum ini untuk membantu dalam isu tersebut amat diperlukan dan bermakna.
Muhamad Iskandar Firdaus Awalludin, 27 tahun, pula berpandangan, pemimpin merupakan mereka yang telah berjanji atas segala amanah rakyat.
Maka, senario atau budaya menyantuni rakyat secara bermusim tidak hanya melambangkan sikap tidak baik pemimpin itu secara peribadi, malah tempiasnya akan turut membabitkan rakyat.
"Kalau kita tak mengharap kepada dia (pemimpin), kita nak harapkan siapa lagi? Sebab itulah juga kita mengundi. Perangai macam tu dah tak boleh pakai dah masa ni," katanya senada dengan rakan-rakannya yang lain.
Menjelang PRU15 yang akan tiba tidak lama lagi, mereka mengharapkan agar titik perubahan dapat dilakukan agar tugas sebenar yang sepatutnya dimainkan ahli politik, agensi kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab mampu memberikan manfaat kepada sekalian masyarakat.