KUALA LUMPUR:
Parti Warisan bersedia bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan berjalan lancar selain sebarang keputusan masih diperhalusi antara kedua-dua parti.

"Sebenarnya kita ada pertemuan dan perbincangan tentang perkara ini untuk memperhalusi bagaimana perkara ini dapat kita realisasikan.

"Ianya dilaksanakan sebaik mungkin dan disusun rapi bagaimana untuk memastikan penyertaan golongan muda ini boleh berkhidmat untuk menentukan masa depan negara dapat kita jayakan.

"Kita sudah menyatakan kesediaan kerjasama (Warisan-MUDA) ... kalau dapat kita jayakan. .. ini akan kita lakukan," katanya ketika temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, pada Rabu.

Selain itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan parti lain di Semenanjung dalam mendepani PRU15.

Bagaimanapun katanya, perkara itu memerlukan penelitian.

‘’Kita kenal pasti bawah kita (Warisan) tidak boleh berseorangan, kita perlu ada alliance dan kita perlukan rakan-rakan tetapi penelitian perlu kita buat secara mendalam kerana perkara ini penting untuk kita bukan hanya kesannya.

‘’Ini kerana kita nak supaya kemenangan ini dapat kita jayakan jadi kita kena ada penelitian secara rapi terhadap rakan-rakan (sekutu) yang untuk kita berkongsi dan bekerjasama berhadapan dengan rakyat dalam PRU-15 kerana ini penting kepada kita sebagai satu landasan pilihan kepada rakyat,’’ tambahnya.

BACA: Jika UMNO boleh tawar calon di Sabah, kenapa Warisan tak boleh ke Semenanjung? - Shafie

Antara lain, Warisan juga ujarnya bersedia untuk menjadi sebuah parti yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama.

‘’Sebenarnya pada saat ini pada waktu ini kita sudah pun dapat melihat bahawa we go beyond race and religion dan jadi perkara ini bukan asing, kita dapat melihat dalam pilihan raya lalu di mana sesetengah tokoh dan pimpinan ahli yang berhormat bertanding di sesetengah tempat yang bukan kawasan mewakili kaum mereka.

‘’Tetapi mereka boleh dapat kejayaan kerana mereka melihat bahawa tokoh dan calon ini boleh berkhidmat dan memberi sumbangan kepada kepentingan kawasan itu,’’ katanya lagi.