KOTA KINABALU: Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) dilihat bakal mewujudkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Gambaran kerjasama itu semakin jelas apabila Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir memenuhi undangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan yang diadakan di Dewan Hakka Likas, pada Khamis.

Bung Moktar ketika ditemui pemberita tidak menolak kemungkinan kerjasama akan diwujudkan antara UMNO Sabah dan Warisan.

"Secara rasmi (kerjasama) belum ada, kan kerjasama penting. Dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri pun perlu ada kerjasama bukan, tiada kerjasama tidak jadi.

"Sebenarnya saya di sini sebab dijemput oleh Presiden sendiri, jadi saya rasa tiada yang salah memandangkan Warisan juga sebahagian daripada kerajaan Perpaduan. Kedua kita pun mahu mengambil ilmu politik dari parti lain.

"Kerjasama itu mesti mahu ada, tetapi bila tidak tahulah," katanya selepas menghadiri perhimpunan itu.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, jika ada kerjasama yang wujud ia berlandaskan untuk kepentingan rakyat dan wilayah Sabah itu sendiri.

"Kita ada duduk semeja dengan mereka berbincang mengenai kepentingan wilayah Sabah dan Rakyat Sabah. Bagaimana kita dapat terjemahkan untuk ia menjadi kenyataan.

"Tetapi saya katakan kepada Datuk Seri Bung Moktar bahawa kita berada di sini kalau perlu kerjasama antara kita ialah untuk kepentingan rakyat Sabah dan wilayah Sabah," katanya.

Ditanya lanjut sama adakah jalinan kerjasama itu untuk PRN akan datang, beliau tidak menolaknya jika ia menjadi kenyataan. "Ya, Insya-Allah mudah-mudahan kalau sekiranya itu menjadi kenyataan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penerimaan akar umbi jika wujudnya kerjasama, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihaknya setakat ini menerima reaksi positif.

"Alhamdulillah, di peringkat akar umbi ramai saya lihat, bila saya turun ke Semporna, ke Lahad Datu ada juga ahli UMNO yang ikut acara-acara.

"Jadi maknanya ada langkah-langkah menuju ke arah itu (kerjasama), bukan tidak ada. Positif, tapi terserah kepada kepimpinan parti, bagi kita jelas, demi kepentingan rakyat dan wilayah Sabah, tidak masalah bagi kita," katanya. - Sinar Harian