Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan meneliti semua cadangan yang dikemukakan di Dewan Rakyat berhubung pembayaran balik pinjaman, kata Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Katanya banyak input positif yang dikemukakan oleh wakil rakyat semasa membahaskan Belanjawan 2019.

PTPTN akan mengumumkan kaedah pembayaran balik pada Disember depan selepas meneliti semua perbahasan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya 2018 anjuran Kolej Matrikulasi Perlis yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Dr Baiduriah Yaakub.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata agensi itu tidak mampu menunaikan janji menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam bergaji bawah RM4,000 kerana tidak mahu menjadi seperti 'menang sorak, kampung tergadai'.

"Silap-silap PTPTN kena tutup sebab tidak ada duit beri pinjaman baharu," katanya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov lalu, para peminjam bergaji RM1,000 ke atas dikehendaki membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

-- BERNAMA