MALAYSIA
PTPTN salur RM41.5 juta wang pendahuluan pinjaman, bantu 27,674 pelajar

Setakat 31 Ogos, PTPTN memaklumkan sebanyak 990,646 pelajar telah mendapat manfaat WPP yang diperkenalkan pada 1999, dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 27,674 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang memasuki Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi Oktober ini, melibatkan peruntukan RM41.5 juta.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikan WPP berkenaan di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai Rabu ini.
"Pelajar hanya perlu membawa bersama surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan juga MyKad pelajar (wakil tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 Sept hingga 23 Nov 2025," menurut kenyataan itu.
Menerusi WPP, setiap pelajar baharu yang layak akan menerima RM1,500 sebagai persiapan awal memasuki UA dan Politeknik, sekali gus meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar.Setakat 31 Ogos, PTPTN memaklumkan sebanyak 990,646 pelajar telah mendapat manfaat WPP yang diperkenalkan pada 1999, dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.
Menurut kenyataan itu, WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
"Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, PTPTN memaklumkan sebanyak 1,380 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan RM2.07 juta di Pulau Pinang, termasuk 88 pelajar di kawasan Bukit Gelugor melibatkan peruntukan RM132,000.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan sama berkata kemudahan WPP adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.
"Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan siswazah berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Selain itu, mereka yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami