PETALING JAYA: Seorang anak lelaki tergamak membunuh bapanya, sebelum mayatnya dibalut dengan langsir sebelum dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way, di sini, pada Sabtu.

Menurut sumber, mayat lelaki berusia 74 tahun itu ditemui pada jam 2 pagi.

"Siasatan mendapati kesan kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah, kesan lebam di bahagian dada mangsa.

"Pemeriksaan di lokasi rumah mangsa pula, terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding dan pintu bilik tidurnya serta kesan seretan di bahagian ruang tamu," katanya pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek berusia 40-an untuk membawa mangsa terdapat kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Suspek yang juga anak kandung mangsa telah ditahan, dia disyaki memukul bapanya dengan menggunakan penyedok sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek kemudian bertindak membalut mangsa menggunakan langsir sebelum meletakkan mayat mangsa di tepi jalan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Kita akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu dalam masa terdekat," katanya. - Sinar Harian