Pulau Misa Melayu di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di sini wajar dijadikan Pusat Kebudayaan orang Melayu kerana ia sering dijadikan lokasi pertemuan bagi penganjuran aktiviti kebudayaan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hasnul Zulkarnain Abd Munaim ketika membuat saranan itu berkata pengiktirafan terhadap kawasan itu juga dapat menaikkan sektor pelancongan negeri.

Kerajaan negeri, katanya, akan memberi bantuan sewajarnya bagi menyokong aktiviti budaya di kawasan itu selain menggalakkan lebih banyak NGO menganjurkan aktiviti berkaitan Melayu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muzaqarah dan Malam Melayu Sejati Gabungan NGO Melayu Perak Darul Ridzuan bersempena bulan kebangsaan 2018 anjuran Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) di sini, hari ini.

Antara aktiviti kebudayaan yang dipaparkan.
Sementara itu, Yang Dipertua Dendang Anak Mior Yazid Abdul Manaf berkata kawasan berkenaan dibuka sejak 1996 dengan keluasan empat hektar dan pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan seperti muzik, tarian serta peragaan busana Melayu.

"Kawasan ini bukan untuk tujuan individu tetapi ia adalah untuk memelihara kebudayaan bangsa Melayu yang semakin terhakis," katanya.

Pengunjung, katanya, berpeluang merasai suasana kehidupan orang Melayu zaman dahulu selain melihat identiti Melayu yang dizahirkan melalui cara pemakaian, suasana perkampungan dan persembahan yang dilakukan.

"Di kawasan ini kami juga membantu pemulihan akhlak dengan menggunakan muzik dan adat istiadat Melayu sebagai terapi untuk memulihkan masalah mereka," katanya.

-- BERNAMA