GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan semua kompaun kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak yang dikeluarkan menerusi sistem pengecaman nombor plat automatik (ANPR) manakala bayaran kompaun yang telah dijelaskan pengguna akan dikembalikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H’ng Mooi Lye berkata sebanyak 29,240 kompaun bagi kesalahan itu dikeluarkan sepanjang 2025 hingga bulan ini dengan bayaran berjumlah RM266,160 telah dijelaskan pengguna hanya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Beliau berkata keputusan membatalkan kompaun itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan dan maklum balas orang ramai berhubung pelaksanaan sistem berkenaan, selain bagi mengelak sebarang isu dan pertikaian.
“Kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan rakyat bahawa terdapat situasi pemandu kenderaan yang hanya berhenti seketika untuk menurunkan atau mengambil penumpang, sedangkan sistem ANPR tidak dapat menentukan sama ada terdapat individu di dalam kenderaan ketika itu.
“Justeru, bagi memastikan tiada pertikaian, semua kompaun yang dikeluarkan melalui sistem ANPR bagi kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak akan dibatalkan,” katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.
H’ng berkata bagi kesalahan sama pada masa akan datang, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara manual oleh pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di lapangan berdasarkan pemerhatian dan keadaan sebenar, melainkan di kawasan larangan meletak kenderaan, berhenti atau yang menyebabkan halangan.
Beliau berkata individu yang telah membuat bayaran kompaun berkenaan boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik kepada kedua-dua PBT iaitu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hingga 30 Sept ini.
“Bagi kompaun yang dibayar menerusi aplikasi Penang Smart Parking (PSP), bayaran balik akan diproses secara automatik ke dalam dompet aplikasi berkenaan manakala bagi pembayaran melalui kaedah lain, pengguna perlu mengemukakan tuntutan kepada PBT masing-masing berserta resit bayaran kompaun dan salinan penyata bank,” katanya.
Kerajaan negeri juga, katanya mengambil kira kes pengguna yang dikenakan kompaun menerusi ANPR kerana belum membuat bayaran parkir ketika kenderaan mereka dikesan, sedangkan bayaran dibuat tidak lama selepas itu, justeru, pengguna yang membuat bayaran parkir dalam tempoh 10 minit selepas kompaun dikeluarkan boleh mengemukakan rayuan kepada MBPP atau MBSP untuk pembatalan kompaun.
H’ng berkata ANPR tidak lagi digunakan untuk mengeluarkan kompaun secara automatik buat masa ini dan sebarang pelaksanaannya pada masa hadapan akan dipertimbangkan selepas kajian semula dilakukan.
Sabtu lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan MBPP dan MBSP menghentikan penggunaan sistem ANPR bagi mengeluarkan kompaun berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pelaksanaannya disemak semula.
Sebelum ini, Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran dilaporkan berkata penggunaan ANPR yang bermula pada 24 April tahun lepas menyaksikan pihaknya secara purata mengeluarkan kira-kira 7,000 kompaun setiap bulan atas pelbagai kesalahan parkir.
-- BERNAMA