Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang percepat digitalisasi sistem kutipan hasil negeri, kekang ketirisan

GEORGE TOWN, 19 Mac — Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, telah mengemukakan senarai nama calon Yang Dipertua Negeri yang baharu kepada Pejabat Perdana Menteri setelah mendapat persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.  Tempoh pelantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, yang bermula pada 1 Mei 2021, akan tamat pada 30 April tahun ini.  —fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chow berkata langkah ini juga antara strategi jangka pendek kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempercepat agenda digitalisasi perkhidmatan awam termasuk sistem kutipan hasil bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kebocoran hasil negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini juga antara strategi jangka pendek kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pelaburan sedia ada menerusi pemudahcaraan proses kelulusan dan pengoptimuman penggunaan tanah industri khususnya melalui agensi seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Langkah ini membolehkan negeri menjana hasil secara langsung melalui premium tanah, sewaan dan aktiviti ekonomi berkaitan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Bertam) mengenai strategi jangka pendek dan panjang kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil selain mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan.

Bagi sektor pelancongan, Chow berkata usaha dipergiat melalui pemerkasaan produk sedia ada seperti pelancongan warisan, gastronomi dan perubatan di samping memperkukuh kutipan fi berkaitan.

Selain itu, semakan kadar fi dan caj secara berkala, penguatkuasaan tunggakan hasil serta monetisasi atau pengewangan aset negeri dilaksanakan sebagai sumber hasil bukan cukai yang berkesan.

Bagi jangka panjang, beliau menjelaskan kerajaan negeri menumpukan pembangunan sektor ekonomi bernilai tinggi demi memastikan hasil lebih mampan, termasuk usaha menarik pelaburan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor maju dan ekonomi digital dengan sokongan InvestPenang.

“Sektor pelancongan pula beralih kepada segmen berkualiti tinggi seperti pelancongan perubatan dan penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) bagi meningkatkan perbelanjaan setiap pelancong. 

“Pembangunan ekonomi digital dan inisiatif negeri pintar juga diperkasakan melalui analisis data dan pembangunan bakat digital bagi meningkatkan daya saing negeri,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang turut menekankan kepelbagaian sumber hasil melalui penerokaan bidang baharu seperti ekonomi hijau, termasuk mekanisme Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) serta pelaksanaan kerjasama awam-swasta (PPP) dalam projek strategik yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional serta meningkatkan daya tahan fiskal negeri.

Beliau berkata pembaharuan tadbir urus fiskal turut dilaksanakan melalui kaedah belanjawan berasaskan sifar (perbelanjaan diperuntukkan berdasarkan justifikasi keperluan dan keutamaan), pemantauan prestasi kewangan berpusat serta pengukuhan akauntabiliti melalui audit berkala.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video