GEORGE TOWN: Isu pencemaran di Kampung Selamat dan Sungai Kereh di Tasek Gelugor tidak hanya disebabkan kepada aktiviti penternakan babi semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai punca lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata berkata pencemaran berkenaan, melibatkan faktor lain seperti aktiviti pertanian, pelepasan sisa, sistem perparitan dan aspek persekitaran lain di bawah bidang kuasa pelbagai agensi.
Justeru, beliau berkata tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPS) dan agensi teknikal, bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan langkah pembetulan diambil.
“Antara langkah yang sedang dirancang ialah pemindahan sisa najis babi ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ), untuk diproses sebagai bahan mentah dalam sistem anaerobic digestion.
“Melalui proses ini, sisa organik akan diuraikan dalam persekitaran tanpa oksigen bagi menghasilkan gas metana yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Mohd Sobri Saleh (PN-Permatang Berangan) mengenai jumlah aduan pencemaran Sungai Kereh dan tindakan diambil.
H'ng berkata inisiatif itu bukan sahaja berupaya mengurangkan pencemaran sungai dan risiko pencemaran alam sekitar, malah turut menyokong agenda kelestarian, melalui pengurusan sisa yang lebih sistematik sekali gus penjanaan tenaga hijau yang mesra alam.
Berdasarkan rekod JAS negeri, katanya tujuh aduan berkaitan isu pencemaran air dan bau busuk di Sungai Kereh telah diterima dari 2024 sehingga 2026, dengan siasatan lapangan telah dijalankan termasuk pemeriksaan lokasi yang mendapati terdapat kawasan parit diliputi rumput air, yang berpotensi menyebabkan aliran perlahan serta menyumbang kepada masalah bau.
-- BERNAMA