Skip to main content

Malaysia

Transformasi kesihatan digital mesti pastikan warga emas tidak terpinggir - Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pleno mengenai dividen umur panjang sempena WISH8 hari ini. - Gambar Bernama
Dr Wan Azizah ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pleno mengenai dividen umur panjang sempena WISH8 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

DOHA: Transformasi digital dalam penjagaan kesihatan mesti dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan golongan rentan, khususnya warga emas, tidak terpinggir ketika Malaysia menuju status negara tua menjelang 2048, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata meskipun kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kesihatan digital berpotensi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan serta memanjangkan tempoh hidup sihat, manfaatnya perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, teknologi berkenaan membolehkan diagnosis awal, pemantauan jarak jauh dan penyediaan penjagaan kesihatan yang disesuaikan dengan keperluan individu.

Advertisement

Bagaimanapun, sekiranya peralihan perkhidmatan kesihatan ke platform dalam talian berlaku lebih pantas daripada keupayaan golongan rentan untuk menyesuaikan diri, usaha itu hanya akan menggantikan halangan fizikal dengan halangan digital.

“Inovasi mesti berteraskan literasi digital dan reka bentuk berpusatkan insan supaya teknologi dapat merapatkan jurang, bukannya memburukkan lagi keterasingan sosial,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pleno mengenai dividen umur panjang sempena Sidang Kemuncak Inovasi Kesihatan Dunia (WISH8) di sini hari ini.

Advertisement

Dr Wan Azizah menegaskan bahawa pelaburan dalam usaha menggalakkan penuaan sihat bukan sahaja penting untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas, malah bagi menjamin kemampanan ekonomi dan sosial generasi akan datang.

“Sekiranya kita gagal melabur dalam usaha menggalakkan penuaan sihat sekarang, generasi muda akan mewarisi kos penjagaan kesihatan yang tidak mampan, tanggungjawab penjagaan yang semakin berat serta peluang ekonomi yang semakin terbatas.

“Sebaliknya, apabila warga emas kekal sihat, aktif dan terjamin dari segi kewangan, mereka dapat memainkan peranan penting sebagai pembimbing, tonggak keluarga dan penyumbang kepada masyarakat. Pelaburan untuk memastikan masyarakat menikmati usia yang panjang dan sihat bukanlah persaingan antara generasi tua dengan generasi muda yang hanya menguntungkan satu pihak, sebaliknya menjadi asas kepada keadilan antara generasi,” katanya.

Beliau berkata usaha mencapai matlamat penuaan sihat memerlukan komitmen dasar yang berterusan serta tindakan terselaras, khususnya dalam memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan dan penjagaan kesihatan primer.

Sehubungan itu, beliau mengetengahkan Rangka Tindakan Penuaan Negara, Kerangka Strategik Penuaan Negara dan Pelan Tindakan Penjagaan 2026-2030 sebagai antara inisiatif utama bagi memastikan pendekatan Malaysia terhadap penuaan sihat dilaksanakan secara saksama dan terselaras, dengan akses yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Dr Wan Azizah turut menggariskan tiga komitmen bagi memajukan agenda umur panjang, iaitu memastikan inovasi berpandukan bukti saintifik dan membawa penambahbaikan nyata dalam kehidupan seharian, menerapkan prinsip akses saksama dan keadilan antara generasi dalam penggubalan dasar serta penyelidikan, selain memperkukuh institusi menerusi kerangka kerja yang dapat dilaksanakan.

WISH8 anjuran Yayasan Qatar berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Nasional Qatar dengan mengangkat tema “The New Health Span” (Era Baharu Tempoh Hidup Sihat).

Sidang kemuncak itu menghimpunkan pakar kesihatan dan penggubal dasar dari seluruh dunia bagi meneroka pendekatan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hayat.

Turut hadir pada sesi pleno itu ialah Naib Pengerusi Yayasan Qatar Sheikha Hind bint Hamad Al Thani dan Wanita Pertama Republik Angola Ana Dias Lourenço.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement