GEORGE TOWN: Sebanyak 211,115 penduduk Pulau Pinang telah mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pulau Pinang dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan jumlah itu direkodkan setakat 11.59 malam, berdasarkan sumber data pentadbiran PADU.

DOSM memaklumkan penduduk yang masih belum mengemas kini maklumat boleh berbuat demikian secara kendiri dengan melayari https://padu.gov.my atau berkunjung ke kaunter fizikal dan pegawai bertugas sedia membantu untuk mengisi maklumat.

Sebanyak lima kaunter fizikal turut dibuka bermula hari ini hingga 9 Mac di pasar raya di sekitar negeri ini dalam usaha menggalakkan pendaftaran PADU.

Sebelum ini, Pengarah DOSM Pulau Pinang Khairolnizam Hassan memaklumkan bahawa DOSM menyasarkan 1.2 juta penduduk Pulau Pinang untuk mendaftar.

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

-- BERNAMA