Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pulau Pinang terima 285,400 pelancong perubatan, jana RM601.8 juta pada separuh pertama 2026

51767439722_WongHonWai.jpg
Wong berkata Pulau Pinang menerima kira-kira 520,000 pelancong perubatan pada 2025, menjana hasil sebanyak RM1.14 bilion. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menarik kira-kira 285,400 pelancong perubatan dan menjana hasil pelancongan perubatan sebanyak RM601.8 juta pada separuh pertama 2026, menurut data daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata prestasi itu mencerminkan skala pasaran pelancongan perubatan Pulau Pinang yang besar dan kepentingannya yang berterusan kepada industri pelancongan kesihatan Malaysia.

“Momentum pertumbuhan berterusan hingga tahun 2026, menunjukkan pasaran pelancongan perubatan Pulau Pinang telah mencapai skala yang signifikan dan terus memainkan peranan penting dalam industri pelancongan perubatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata Pulau Pinang menerima kira-kira 520,000 pelancong perubatan pada 2025, menjana hasil sebanyak RM1.14 bilion.

Beliau berkata angka itu hanya meliputi hospital dan tidak termasuk klinik pergigian, makmal klinikal, pusat diagnostik, farmasi dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan lain yang berkaitan.

“Oleh itu, apabila ekosistem pelancongan perubatan dilihat secara menyeluruh, jumlah sebenar pelancong perubatan yang mendapat perkhidmatan di Pulau Pinang dan aktiviti ekonomi yang dijana berkemungkinan jauh lebih besar,” katanya.

Wong berkata Pulau Pinang menyumbang lebih daripada satu pertiga industri pelancongan perubatan Malaysia dari segi jumlah pelancong perubatan dan sumbangan ekonomi, menjadikannya destinasi pelancongan perubatan utama negara.

Katanya harga menjadi antara tarikan Pulau Pinang tetapi bukan satu-satunya kelebihan negeri itu apabila mempunyai institusi penjagaan kesihatan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, kemudahan dan peralatan perubatan moden, perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi pada harga kompetitif, keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan persekitaran komunikasi yang kondusif.

“Kekuatan ini, ditambah dengan usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan pelancongan perubatan serta memperkukuh ekosistem dan infrastruktur sokongan, membantu menempatkan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelancongan perubatan yang berdaya saing di Asia,” katanya.

Wong berkata Indonesia kekal sebagai pasaran sumber terbesar Pulau Pinang, dengan penerbangan terus kini boleh didapati dari Jakarta, Surabaya, Banda Aceh dan Medan. Laluan terus baharu antara Batam dan Pulau Pinang dijadualkan bermula pada 18 Oktober.

Bagaimanapun, katanya Pulau Pinang perlu mempelbagaikan pasaran sumber antarabangsanya berikutan negara-negara jiran seperti Vietnam dan Thailand serta Pakistan turut mula giat membangunkan industri pelancongan perubatan mereka, sekali gus meningkatkan persaingan pada peringkat serantau.

Wong berkata rantau Arab dan Australia merupakan dua pasaran yang berpotensi wajar diterokai oleh Pulau Pinang berikutan penawaran pelancongan mesra Muslim yang menyeluruh, pantai, makanan, tapak warisan dan kaya dengan warisan budaya menjadi antara tarikan kepada pelancong perubatan daripada pasaran ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement