KUALA LUMPUR: Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 bakal menghimpunkan usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), persatuan industri serta pemain perniagaan dari seluruh negara menerusi penganjuran edisi sulungnya di Pulau Pinang pada 26 dan 27 September ini.
Program yang berlangsung di Stadium Batu Kawan itu dianjurkan oleh Monie, jenama di bawah Foodie Media Berhad, bersama Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival berkenaan menjadi platform mempertemukan komuniti perniagaan bagi berkongsi pandangan, meneroka peluang kerjasama serta memperluas rangkaian profesional dalam pelbagai sektor ekonomi.
Menurut kenyataan itu, KHPM 2026 akan menampilkan pelbagai pengisian termasuk perbincangan panel, sesi perkongsian bersama usahawan, sesi pitching, bengkel serta aktiviti rangkaian yang disasarkan kepada pemilik perniagaan dan usahawan.
Antara agensi dan organisasi yang dijangka terlibat dalam program itu ialah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, SME Corp. Malaysia, UDA Holdings serta beberapa persatuan industri lain.
Karnival berkenaan turut mengetengahkan perbincangan berkaitan sektor makanan dan minuman (F&B), perniagaan digital, kecantikan serta teknologi yang dilihat antara segmen utama dalam landskap keusahawanan negara ketika ini.
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan berpeluang mengikuti perbincangan panel selama 45 minit yang menampilkan wakil persatuan dan pakar industri, selain sesi perkongsian individu oleh usahawan daripada pelbagai sektor.
Turut dijadualkan ialah sesi fireside bersama pengasas syarikat pada waktu petang, aktiviti cabutan bertuah, majlis perasmian serta sesi lawatan sepanjang berlangsungnya acara.
Menurut penganjur, semua sesi akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris bagi memastikan penyertaan yang lebih meluas daripada pelbagai latar belakang industri.
KHPM diperkenalkan sebagai platform kebangsaan yang menghubungkan usahawan, PKS dan persatuan industri menerusi perkongsian ilmu, sesi pitching secara langsung serta peluang membina jaringan perniagaan, dengan tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi termasuk F&B, perniagaan digital, kecantikan dan teknologi.