Skip to main content

Malaysia

Pulau Sembilan: Perak, Kerajaan Persekutuan perkukuh penguatkuasaan - Exco

BATU GAJAH, 30 Julai -- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berucap pada Majlis Pecah Tanah K-TEST Malaysia, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sze Yee berkata ia bagi mengatasi isu pertindihan bidang kuasa antara kedua-dua pihak yang selama ini menyukarkan pelaksanaan penguatkuasaan secara komprehensif. - Foto BERNAMA
Advertisement

SUNGAI SIPUT: Kerajaan Negeri Perak bersama Kerajaan Persekutuan dalam proses menaik taraf perundangan sedia ada bagi memperkemas dan memantapkan pelaksanaan operasi penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Negeri Pulau Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata ia bagi mengatasi isu pertindihan bidang kuasa antara kedua-dua pihak yang selama ini menyukarkan pelaksanaan penguatkuasaan secara komprehensif.

“Kawasan laut berada di bawah bidang kuasa persekutuan manakala daratan pula di bawah kerajaan negeri. Perbezaan ini mewujudkan zon kelabu yang sering dimanfaatkan pihak tidak bertanggungjawab untuk meloloskan diri daripada tindakan penguatkuasaan.

“Prosesnya hampir selesai, namun masih memerlukan pewartaan dan sebagainya. Ia berkemungkinan  mengambil sedikit masa untuk diselesaikan, namun kita yakin penambahbaikan (perundangan) ini akan membolehkan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Sungai Siput Heritage Music Vibes sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Lorong Pekan Sungai Siput di sini, malam tadi.

Taman Negeri Pulau Sembilan mula ditutup kepada umum pada 1 April 2017 berikutan kerosakan teruk pada ekosistem marin dan struktur batu karang akibat aktiviti pencerobohan serta pelancongan tidak terkawal.

Loh berkata berdasarkan dapatan biodiversiti terkini, status ekosistem marin di gugusan pulau berkenaan masih belum menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif untuk dibuka semula kepada umum bagi aktiviti pelancongan.

Beliau berkata faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan tersebut adalah daripada pencerobohan berterusan nelayan haram serta kesan kerosakan terkumpul yang menjejaskan kitaran pemulihan semula jadi di kawasan terkenal.

“Aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Pulau Sembilan masih berterusan dan memberi kerosakan berganda terhadap ekosistem marin setempat.

“Antara taktik utama penceroboh adalah bertindak memotong pukat mereka apabila menyedari kehadiran bot penguat kuasa, menyebabkan pukat tersebut tenggelam ke dasar laut dan memusnahkan struktur batu karang di kawasan perairan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement