AS punyai kepentingan strategik dan hubungan erat dengan Malaysia - Duta

Kagan hadir pada program The Nation bertajuk "After the ASEAN Summit: What Trump's Visit Means", yang disiarkan pada Sabtu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan terus mengekalkan kepentingan strategiknya dalam menjalin hubungan kukuh dan rapat dengan Malaysia, didorong oleh lawatan terkini Presiden Donald Trump ke negara ini semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ringkasan AI
- Duta AS Edgard D. Kagan menegaskan hubungan dua hala Malaysia-AS semakin kukuh, meliputi perdagangan, pelaburan, keselamatan dan hubungan rakyat.
- Presiden Donald Trump menjadi presiden AS ketiga melawat Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, disambut positif oleh rakyat dan pemimpin dunia.
- Lawatan Trump turut mengiktiraf peranan Malaysia dalam memediasi konflik sempadan Kemboja-Thailand, dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani disaksikan Anwar dan Trump.
Beliau menegaskan bahawa AS sentiasa berdiri bersama Malaysia dan terus menjadi rakan penting dalam bidang ekonomi, baik dari segi pelaburan Amerika di Malaysia mahupun perdagangan dua hala, selain turut berperanan sebagai rakan strategik dalam aspek keselamatan.
"Kami menyaksikan kebangkitan semula sokongan rakyat Malaysia terhadap hubungan (dengan AS)," katanya.
Kagan turut menyatakan bahawa suasana mesra dan keterbukaan yang luar biasa dapat dirasakan sepanjang lawatan rasmi pertama Trump ke Malaysia ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan.
"Antara buktinya ialah jika anda lihat di media sosial, terdapat majoriti besar komen positif terhadap presiden dan lawatannya. Itu sesuatu yang saya rasa ramai tidak jangka.
"Ya, sudah tentu masih ada pengkritik, tetapi saya percaya ramai antara mereka turut terkejut dengan reaksi positif yang diberikan," katanya.
Trump merupakan presiden Amerika ketiga yang melawat Malaysia selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 serta Barack Obama pada 2014 dan 2015.
Kagan menjelaskan bahawa lawatan Trump dilakukan atas beberapa sebab, termasuk pengiktirafan bahawa rantau Indo-Pasifik amat penting bagi AS serta kepentingan negara itu untuk memperkukuh hubungan dengan Asia Tenggara.
Beliau turut menegaskan bahawa Trump datang ke Malaysia kerana tumpuannya terhadap konflik sempadan Kemboja-Thailand dan mengiktiraf peranan penting Malaysia dalam membantu kedua-dua pihak mencapai persetujuan damai.
"Beliau (Presiden Trump) amat teruja dengan lawatan itu. Bukan sahaja berdasarkan apa yang beliau katakan kepada saya, tetapi juga pada ucapan beliau di Jepun dan Korea Selatan selepas itu.
"Beliau sering menyebut betapa hebatnya lawatan itu, bagaimana beliau serasi dengan Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), betapa gembiranya beliau datang ke Malaysia, serta betapa bangganya beliau dengan hasil kerjasama antara kedua-dua negara," kata Kagan.
Pada satu majlis sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lalu, Kemboja dan Thailand menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang menandakan langkah rasmi ke arah menghentikan pertikaian dan memulihkan keamanan di sempadan kedua-dua negara.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


