PUTRAJAYA: Selepas kali terakhir menjadi tuan rumah lebih dua dekad lalu, Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kembali menerajui Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM) dan Mesyuarat Berkaitan yang membuka tirainya secara rasmi pada Isnin.
Penganjuran persidangan dwitahunan selama lima hari bermula 7 hingga 11 September itu melakar sejarah tersendiri apabila Malaysia kembali memikul tanggungjawab sebagai pengerusi selepas 22 tahun, dengan Myanmar bertindak sebagai Naib Pengerusi.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, persidangan bertemakan "Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems" itu menandakan anjakan diplomasi kesihatan negara, daripada sekadar merangka dasar, kepada pelaksanaan tindakan nyata yang memberi manfaat kepada lebih 670 juta rakyat di rantau ini.
Tirai persidangan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Kesihatan (SOM), sebelum acara kemuncak melibatkan barisan Menteri Kesihatan berlangsung bermula Rabu ini.
"Tumpuan strategik AHMM ke-17 merangkumi pelancaran Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 sebagai pelan hala tuju utama kesihatan serantau.
"Persidangan ini turut memberi fokus kepada pengukuhan kesiapsiagaan pandemik menerusi pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu ASEAN (ACPHEED), selain merangka strategi bersepadu bagi menangani beban dwi-penyakit membabitkan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD)," menurut kenyataan itu lagi.
Selain agenda teras tersebut, KKM berkata, Malaysia turut mempamerkan kepimpinan intelektual serantau dengan menganjurkan beberapa acara sampingan membabitkan isu kesihatan penting.
Antara topik yang diperincikan termasuk penyakit jarang jumpa, inisiatif kesihatan mata menerusi MySPECS, penyelidikan penyakit terabai (DNDi), kesihatan paru-paru, aplikasi Behavioural Insights, serta kawal selia peranti perubatan peringkat serantau.
Penganjuran kali ini turut mencatat detik bersejarah melalui pelaksanaan Mesyuarat Sulung Menteri Kesihatan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN-Jepun.
KKM berkata, platform diplomasi tersebut turut dimanfaatkan bagi mengadakan perbincangan peringkat menteri bersama rakan dialog utama seperti China, Republik Korea (ROK), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperluas kerjasama teknikal serta pelaburan kesihatan awam.
Jelas KKM, kesemua inisiatif dan kerangka dasar yang dibincangkan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan di bawah gagasan Malaysia MADANI bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan awam di rantau ASEAN kekal inklusif, saksama, dan mampan mendepani cabaran masa hadapan.