Skip to main content

Malaysia

Pusat Tingkatan Enam baharu di Cheltenham Ladies’ College dinamakan sempena Raja Zarith Sofiah

Raja Zarith Sofiah pernah menuntut di Cheltenham Ladies’ College selama lima tahun dari 1972 hingga 1977 sebelum melanjutkan pengajian ke University of Oxford. - Foto Fail
Raja Zarith Sofiah pernah menuntut di Cheltenham Ladies’ College selama lima tahun dari 1972 hingga 1977 sebelum melanjutkan pengajian ke University of Oxford. - Foto Fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebuah Pusat Tingkatan Enam baharu di Cheltenham Ladies’ College, England, dinamakan sebagai Zarith Sofiah Centre sebagai penghormatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Pengumuman itu dibuat oleh pihak kolej pada 29 Sept lalu, sekali gus mencatat sejarah apabila Raja Zarith Sofiah menjadi ahli alumni pertama yang namanya diabadikan pada sebuah bangunan di institusi berprestij berkenaan.

Raja Zarith Sofiah pernah menuntut di Cheltenham Ladies’ College selama lima tahun dari 1972 hingga 1977 sebelum melanjutkan pengajian ke University of Oxford.

Pengetua Eksekutif Cheltenham Ladies’ College, Eve Jardine-Young, berkata penamaan bangunan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan Seri Paduka Baginda sepanjang hayat.

“Bagi pihak ibu bapa, pelajar dan kakitangan Cheltenham Ladies’ College, dahulu, kini dan masa hadapan, kami berbesar hati membuka Pusat Tingkatan Enam baharu ini dan menamakannya sempena Raja Zarith Sofiah sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan bakti sepanjang kehidupan Seri Paduka Baginda.

“Ia merupakan satu-satunya bangunan yang dinamakan bersempena ahli alumni kami dan kami tidak sabar untuk menerima pelajar baharu bagi tahun 2027 serta berkongsi perkembangan pusat ini bersama Seri Paduka Baginda,” katanya.

Pengiktirafan berkenaan turut mencerminkan hubungan erat Raja Zarith Sofiah dengan institusi pendidikan tersebut serta sumbangan berterusan Baginda dalam bidang pendidikan, pembangunan masyarakat dan kebajikan.

Penamaan Zarith Sofiah Centre juga dilihat sebagai satu penghormatan istimewa kepada rakyat Malaysia apabila nama seorang tokoh negara diabadikan di sebuah institusi pendidikan terkemuka dunia.

Must Watch Video

Advertisement