Skip to main content

Teknologi

Festival Idea Putrajaya: Inovasi UMT, artemia bersaiz ultra kecil, sasar kurangkan import industri akuakultur

Artemia atau dikenali sebagai udang air garam ialah sejenis krustasea kecil yang hidup di perairan berkadar kemasinan tinggi dan memainkan peranan penting sebagai makanan hidup pada peringkat awal tumbesaran larva ikan serta udang. - UMT
Artemia atau dikenali sebagai udang air garam ialah sejenis krustasea kecil yang hidup di perairan berkadar kemasinan tinggi dan memainkan peranan penting sebagai makanan hidup pada peringkat awal tumbesaran larva ikan serta udang. - UMT
Advertisement

KUANTAN, PAHANG: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membangunkan inovasi Artemia Eco Harvest bagi menghasilkan organisma Artemia secara tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan industri akuakultur negara terhadap bekalan import yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada sumber luar.

Lebih menarik, penyelidikan itu berjaya menghasilkan Artemia bersaiz ultra kecil menerusi teknologi pembiakbakaan terpilih, sekali gus membuka peluang baharu dalam penghasilan benih ikan marin bernilai tinggi yang memerlukan sumber makanan hidup bersaiz lebih kecil.

 

Image
Inovasi UMT


Artemia atau dikenali sebagai udang air garam ialah sejenis krustasea kecil yang hidup di perairan berkadar kemasinan tinggi dan memainkan peranan penting sebagai makanan hidup pada peringkat awal tumbesaran larva ikan serta udang.

Pengarah Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) UMT, Prof. Dr. Yeong Yik Sung, berkata organisma berkenaan mempunyai nilai nutrisi tinggi, mudah dihadam serta mempunyai saiz sesuai untuk dimakan larva, menjadikannya antara input utama dalam operasi pusat penetasan ikan dan udang.
 

Advertisement
Image
Inovasi UMT


"Artemia menghasilkan sista atau 'cysts' yang boleh disimpan dalam tempoh lama sebelum ditetaskan apabila diperlukan, sekali gus menjadikannya sumber makanan hidup yang praktikal untuk industri akuakultur.

"Nilai dagangan sista Artemia di pasaran dunia mencecah AS$220 juta dengan jumlah perdagangan melebihi 3,500 tan setahun, mencerminkan kepentingan organisma berkenaan dalam rantaian bekalan industri akuakultur global.

"Bagaimanapun, Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan import Artemia, termasuk dari Amerika Syarikat, China, Rusia dan Vietnam, sekali gus mendedahkan pengusaha tempatan kepada risiko ketidakstabilan bekalan, turun naik harga serta peningkatan kos pengangkutan," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Image
Inovasi UMT


Justeru, menerusi Artemia Eco Harvest, UMT memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem pengeluaran Artemia tempatan yang merangkumi penghasilan sista, Artemia hidup dan biojisim Artemia bagi memenuhi keperluan industri dalam jangka panjang.

Keistimewaan utama penyelidikan itu ialah penggunaan teknologi 'selective breeding' yang berjaya mengecilkan saiz sista Artemia daripada sekitar 220 mikron kepada antara 160 hingga 180 mikron, manakala saiz larva atau 'nauplii' yang ditetaskan dapat dikurangkan daripada kira-kira 500 mikron kepada 300 mikron.

Yik Sung berkata, penghasilan Artemia bersaiz lebih kecil itu penting bagi memenuhi keperluan larva ikan marin yang mempunyai bukaan mulut sangat kecil, khususnya spesies bernilai tinggi seperti kerapu, siakap dan ikan hiasan tertentu.

Advertisement
Image
Inovasi UMT


"Malah, Artemia bersaiz ultra kecil berkenaan berpotensi mencapai nilai pasaran sehingga dua kali ganda berbanding Artemia bersaiz biasa, sekali gus mewujudkan segmen pasaran baharu dalam industri makanan hidup akuakultur.

"Selain itu, penyelidikan berkenaan turut menghasilkan PKC Nutri+, iaitu formulasi makanan Artemia berasaskan hampas isirung sawit yang membolehkan organisma itu dikultur secara intensif menggunakan sumber tempatan yang lebih ekonomik.

"Teknologi pengkulturan dalam tangki yang dibangunkan turut menunjukkan potensi penghasilan biojisim yang tinggi apabila satu gram Artemia pada peringkat awal dapat berkembang kepada sehingga satu kilogram biojisim dewasa dalam tempoh sekitar 10 hingga 14 hari, di bawah keadaan pengkulturan yang sesuai," jelasnya.

Menurut beliau, aspek biosekuriti turut menjadi keutamaan menerusi usaha menghasilkan Artemia dengan tahap kebersihan mikrobiologi yang tinggi, khususnya mengurangkan risiko pencemaran bakteria patogen seperti 'Vibrio' yang boleh menjejaskan kesihatan larva ikan dan udang.
 

Image
Inovasi UMT


Katanya, dari sudut kelestarian, penggunaan hampas isirung sawit sebagai bahan asas makanan Artemia turut mengaplikasikan konsep ekonomi kitaran apabila hasil sampingan industri kelapa sawit dimanfaatkan untuk menghasilkan produk bernilai tinggi.

Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), manakala sokongan strategik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak menerusi Perak SADC turut membuka ruang kepada pembangunan kemudahan dan pengeluaran berskala besar.

Bagaimanapun, Yik Sung berkata, cabaran utama ketika ini adalah membawa teknologi yang dibangunkan di universiti ke peringkat pengeluaran komersial, termasuk keperluan pelaburan infrastruktur, tenaga kerja mahir serta sistem kawalan kualiti yang konsisten.
 

Image
Inovasi UMT


Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, beliau menyasarkan Artemia Eco Harvest berkembang menjadi model pengeluaran Artemia bertaraf industri yang mampu memenuhi keperluan pasaran tempatan, mengurangkan import serta meneroka peluang eksport ke pasaran ASEAN.

Penyelidikan Artemia Eco Harvest turut diketengahkan menerusi Festival Idea Putrajaya 2026 (FOI 2026) sebagai antara inovasi penyelidikan universiti yang berpotensi memberi impak kepada industri dan masyarakat.

Penyertaan itu sekali gus membuka ruang memperkenalkan teknologi pengeluaran Artemia tempatan kepada pemain industri, pelabur serta komuniti, selain memperkukuh usaha membawa hasil penyelidikan UMT ke peringkat pengkomersialan dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Must Watch Video

Advertisement