NATIONAL
Rahmah Syawal MADANI anjuran MAIWP meriah, zakat RM138 ribu diagihkan

Seramai 400 asnaf serta 200 kanak-kanak menghadiri program Rahmah Syawal MADANI: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Perdana FELDA pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program Rahmah Syawal MADANI: Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf di Dewan Perdana FELDA, Kampung Datuk Keramat, di sini pada Selasa.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran 400 asnaf serta 200 kanak-kanak dari pelbagai latar belakang, mereka diraikan penuh kasih sayang dan penghormatan, sekali gus menyemai semangat persaudaraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata MAIWP memegang peranan berterusan untuk mengagihkan pungutan zakat kepada golongan yang layak.
“MAIWP sentiasa komited memastikan zakat dikumpul menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui pelbagai saluran.“Majlis Rahmah Syawal MADANI ini adalah sebahagian daripada program diatur MAIWP bagi meraikan golongan asnaf.
“Diharap majlis yang diadakan dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak asnaf, sejajar dengan sunnah Rasulullah SAW setelah sebulan berpuasa Ramadan,” ujarnya.
Dalam majlis sama, dana zakat berjumlah RM138,000 disampaikan menerusi sumbangan khas RM200 tunai berserta cenderahati bernilai RM120 kepada asnaf.
Selain itu, anak-anak asnaf juga menerima duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.
Setakat 21 April 2025, MAIWP telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM314,879,762.44 kepada golongan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi pelbagai inisiatif dan kluster bantuan.
Antara kluster diberikan tumpuan agihan bantuan adalah pendidikan (RM17,061,688.84), perubatan (RM7,851,442.8) dan prasarana (RM1,996, 848.49).
Pencapaian itu sekali gus membuktikan ekosistem zakat yang telus dan efisien mampu menjadi pemacu utama kepada keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat di bandar raya selain hasil sokongan masyarakat Islam yang menunaikan zakat melalui MAIWP dan PPZ-MAIWP.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami