Generasi muda kini yang lebih terbuka meluahkan pendapat perlu sedar bahawa perbezaan pendapat dalam pelbagai perkara perlu diraikan, dan bukannya dilakukan sehingga merosakkan kepentingan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata generasi muda seperti pelajar di luar negara perlu sedar bahawa mereka adalah aset dan masa depan negara.

"Berilah pendapat untuk kepentingan negara dan bukannya merosakkan negara. Pelajar luar negara telah mendapat "social assimilation" dan perlu menterjemahkannya (dalam tindakan mereka)," katanya ketika berucap pada majlis beramah mesra dan makan malam bersama pelajar Malaysia di Sydney pada Selasa malam.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pendapat, dan telah merangka pelan program pembangunan untuk generasi muda, seperti pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) berdasarkan hasrat dan aspirasi golongan muda.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Lebih 14,000 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di Australia ketika ini.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja ke Australia selama tiga hari bermula Ahad lepas.

-- BERNAMA