KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Jun 2023.

Menurut kenyataan PNB pada Rabu, kepimpinan bekas pengarah Maxis Berhad dan Khazanah Nasional Berhad itu dinantikan seiring pelaksanaan pelan strategik PNB.

“Lembaga Pengarah dan warga PNB berbesar hati mengalu-alukan Raja Tan Sri Arshad ke Lembaga Pengarah PNB, membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.

“Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh  rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Raja Arshad kini adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Icon Offshore Berhad dan Bumi Armada Berhad.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.

Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, iaitu salah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan khas untuk menguruskan krisis.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Manakala di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC.

Raja Arshad telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti semasa ia mula-mula ditubuhkan, serta pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Raja Arshad terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan, antaranya dengan mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir serta menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan DayaDiri.