KUALA LUMPUR: Raja Zarith Sofiah bertitah baginda akan terus terlibat secara langsung dalam pengurusan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) walaupun kini berperanan sebagai Raja Permaisuri Agong.

“Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, adalah menjadi tanggungjawab beta bagi meneruskan hasrat Almarhum untuk membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan,” titah Seri Paduka ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah YKTLJ bagi tahun 2023 di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Titah baginda itu dimuat naik dalam hantaran di laman Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Menurut hantaran itu, laporan prestasi dan pencapaian YKTLJ pada 2023 turut dipersembah kepada Raja Zarith Sofiah dalam mesyuarat berkenaan.

Antara aktiviti dan program yang telah dilaksana oleh YKTLJ ialah Laksamana Run, Majlis Makan Malam Amal, menaik taraf Pusat Rawatan Harian Onkologi di hospital, lawatan ke rumah dan wad pesakit serta mewujudkan sukarelawan di Universiti Teknologi Malaysia.

YKTLJ, yang ditubuh pada 2016, telah membantu lebih 3,718 kes membabitkan peruntukan lebih RM11.3 juta termasuk beberapa kemudahan untuk rawatan pesakit kanser di hospital seluruh Johor.

Turut hadir pada mesyuarat itu Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ Datuk Dr Mohd Khairi Yakub, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ Mohd Ikmal Izam Zaini.

-- BERNAMA