NATIONAL
Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Mesyuarat Agung Tahunan PPM di Kelantan

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra bersama ahli-ahli PPPM pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 PPPM di Kota Bharu hari ini. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Ringkasan AI
- 1, Perasmian oleh Raja Permaisuri Agong: Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim.
- Penghargaan kepada Kepimpinan PPPM: Baginda menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas kepimpinan dinamik yang menekankan nilai perpaduan dan inklusiviti dalam kalangan ahli PPPM.
- Sambutan Ulang Tahun PPPM: Persatuan Pandu Puteri Malaysia meraikan ulang tahun ke-109, dengan sambutan meriah yang bermula dengan Program Camporee PPPM 109 dan ulang tahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri di Sabah.
"Sebagai Penaung Diraja PPPM, saya berasa amat bangga dengan keteguhan semangat, iltizam dan pencapaian cemerlang persatuan ini.
"Saya diberitahu bahawa ulang tahun ke-109 tahun ini telah disambut meriah bermula dengan Program Camporee PPPM 109 bersamaan dengan Ulang Tahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri di Sabah yang telah diadakan pada Februari," titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 hari ini. - Foto Bernama
Turut berangkat Penaung Diraja PPPM Kelantan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Yang Dipertua PPPM Kelantan Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra dan Yang Dipertua PPPM Johor Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Raja Zarith Sofiah bertitah usia 109 tahun persatuan berkenaan mencerminkan kesinambungan perjalanan penuh makna dan dedikasi dalam usaha memperkasakan anak gadis Malaysia menjadi warga berilmu, berwibawa dan berakhlak mulia.
"Persatuan Pandu Puteri Malaysia bukan sahaja menjadi platform pembangunan diri tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyemai nilai perpaduan, empati dan kepedulian sosial.
"Dalam suasana dunia semakin mencabar, saya menyeru agar semangat perpaduan dalam persatuan ini terus diperkukuh dan diperluas kepada seluruh masyarakat demi kestabilan dan kemajuan negara yang kita cintai," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan anak gadis yang giat berkecimpung dalam persatuan itu.
Raja Zarith Sofiah bertitah kejayaan penerima Anugerah Pandu Puteri Raja adalah bukti kepada kecemerlangan dan Seri Paduka Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua yang menerima pengiktirafan tertinggi tersebut.
Seri Paduka Baginda amat berharap semua ahli dapat menguasai kemahiran digital serta bijaksana dalam menggunakan teknologi untuk manfaat diri, komuniti dan negara.
"Dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas, dengan kemajuan teknologi berkembang begitu pesat. Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.
"Saya percaya bahawa anak gadis yang berada dalam persatuan ini akan dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa sama kekal beretika serta berjiwa insan," titah Raja Zarith Sofiah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami