KLUANG: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah semalam berkenan menyantuni keluarga mangsa tragedi kebakaran di Taman Titiwangsa di sini yang mengorbankan seorang ibu dan dua anaknya pada Rabu lepas.
Kebakaran tragis di Taman Titiwangsa itu mendapat perhatian Raja Zarith Sofiah yang berkenan berangkat menyantuni Khairul Nizam Wahid, yang kehilangan isteri dan dua anaknya dalam insiden berkenaan, serta keluarga mangsa.
Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor Datin Siti Azizah Omar dan Pegawai Daerah Kluang Puan Azurawati Wahid.
Kebakaran pada Rabu lepas di Taman Titiwangsa itu meragut nyawa Noraini Ibrahim, 49, serta anaknya Khairul Nurhaziqq, 18, dan Khairul Nurhadiff, 11.
Sesi lawatan berkenaan dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa buat mangsa yang terkorban.
Untuk meringankan beban yang dihadapi, Raja Permaisuri Agong berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menitahkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk membiayai sepenuhnya kerja-kerja baik pulih dan pembangunan semula rumah teres dua tingkat milik mangsa yang terjejas dalam kebakaran berkenaan.
Sementara itu, Khairul menzahirkan rasa sebak dan syukur atas keberangkatan Raja Permaisuri Agong serta Che' Puan Mahkota Khaleeda.
"Saya berterima kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap nasib yang menimpa kami sekeluarga. Walaupun nyawa mereka tiada gantinya, namun saya bersyukur apabila ramai orang mendoakan arwah isteri dan anak-anak saya," katanya.
-- BERNAMA