Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, 75, mangkat pada petang Selasa bersamaan dengan 3 Oktober 2017.

Baginda mangkat pada pukul 5.07 petang di Petaling Jaya, Selangor bersamaan dengan 12 Muharram 1439 Hijrah.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam kenyataan media menerusi Pejabat Menteri Besar, Dr Zambry mengumumkan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Negeri Perak akan berkabung sehingga selesai permakaman dan bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separa tiang.

Menurut Dr Zambry, ia adalah sebagai tanda bersedih dan duka cita dengan kemangkatan isteri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Raja Musa tersebut.

Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.

Rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10.00 pagi hingga 11.30 pagi manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pukul 11.30 pagi.

Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan dimakamkan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada hari Rabu, 4 Oktober 2017 masihi bersamaan 13 Muharram 1439 Hijrah.

“Saya Dr. Zambry Bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah SWT dalam kalangan para solehah."