KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Kompleks Petronas Khartoum, Sudan yang menjadi sasaran pertempuran telah berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat pada lewat petang Isnin, waktu Sudan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan berkata, beliau juga telah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar Negeri untuk memanggil Duta Besar Sudan bagi menyuarakan pandangan Malaysia susulan konflik terbaharu.

Ia berikutan situasi yang semakin meruncing dan laporan berkenaan “pengambilan paksa” Kompleks Petronas di Sudan, yang turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia.

"Selain itu, Malaysia juga menyampaikan bantahan ke atas tindakan pihak-pihak tertentu yang telah menceroboh kompleks berkenaan.

"Dalam pertemuan berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) telah menekankan keutamaan untuk kesemua pihak di Sudan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan dipelihara. 

"Ia adalah konflik dalaman dan kepentingan warganegara asing tidak harus menjadi sasaran pihak-pihak yang bertelagah," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia sedang mengambil langkah membawa pulang kesemua rakyat Malaysia sebaik keadaan mengizinkan dan memohon kerjasama pihak Sudan bagi menjamin kelancaran usaha tersebut.

Beliau menegaskan, keselamatan kesemua rakyat Malaysia di Sudan adalah menjadi keutamaan kerajaan. 

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan semua rakyat negara ini akan dibawa keluar dari Sudan jika keselamatan mereka terancam.

"Bagi tujuan ini, Pasukan Khas yang diketuai oleh Kementerian Luar Negeri telah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang 32 rakyat Malaysia berdasarkan data terkini yang dikongsikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

"Ia akan dilaksanakan bersama negara-negara sahabat serta-merta sebaik sahaja ada peluang berbuat demikian. 

"Walau bagaimanapun, keadaan semasa masih belum mengizinkan proses evakuasi dilakukan kerana pertempuran masih memuncak," tambah Zambry.

Dalam masa yang sama, beliau berkata krisis di Sudan turut memberi kesan kepada semua pejabat kedutaan asing. 

Ujar beliau, terdapat laporan serangan yang dilakukan ke atas Duta Besar Kesatuan Eropah ke Sudan, rakyat Jepun dikasari, kenderaan diplomatik Amerika Syarikat (AS) ditembak dan kediaman rasmi Duta Besar Kuwait ke Sudan diceroboh.