JAKARTA: Rakyat Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya mengelakkan lokasi tumpuan demonstrasi di Jakarta Pusat pada Jumaat serta mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada Jumaat, kedutaan itu memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat laporan mengenai demonstrasi, khususnya di sekitar Bundaran HI dan Patung Arjuna Wiwaha, yang turut dikenali sebagai Patung Kuda, susulan jangkaan gangguan trafik sepanjang hari.
Menurut kedutaan itu, demonstrasi berkenaan dijangka menjejaskan aliran trafik di beberapa kawasan di Jakarta Pusat, khususnya di Jalan MH Thamrin, Jalan Jenderal Sudirman dan Jalan Medan Merdeka Barat.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan demonstrasi dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh melanggar undang-undang serta peraturan tempatan,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan itu turut menggesa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi talian hotline di +62 813-8081-3036.
Media tempatan melaporkan bahawa demonstrasi itu dianjurkan oleh kumpulan pelajar bagi membantah peningkatan kos sara hidup, harga bahan api dan beberapa dasar kerajaan.
Sementara itu, Polis Metropolitan Jakarta mengerahkan 6,088 anggota polis dan tentera bagi mengawal keselamatan di beberapa lokasi demonstrasi termasuk kompleks Dewan Perwakilan Rakyat, Bundaran HI, Patung Kuda dan Cikini Raya.
Jurucakap polis, Budi Hermanto berkata penugasan itu bertujuan memastikan demonstrasi dapat berlangsung secara aman dan teratur di samping menjamin kelancaran aktiviti awam.
-- BERNAMA