KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda kawasan beriklim tropika ketika musim tengkujuh boleh menjadi ancaman kepada kesihatan awam yang ketara, mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan yang membawa kesan jangka panjang.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Dr Mohd Khalis Abdul Rahim dan Perunding Pakar Perubatan Kecemasan Dr Lim Eu Jack daripada Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway dekat sini berkata kebimbangan mengenai risiko penyakit berjangkit timbul apabila sampah-sarap dan air tercemar melimpah masuk ke dalam takungan dan laluan air.

Mereka berkata antara impak lazim kepada kesihatan akibat banjir termasuk penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, hepatitis A, berak darah dan keracunan makanan yang menunjukkan simptom seperti cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut dan sakit kepala.

Selain itu, penyakit bawaan air juga termasuk leptospirosis yang merupakan jangkitan bakteria yang dipindahkan menerusi sentuhan air kencing haiwan, demam denggi, malaria. jangkitan bahagian atas pernafasan dan penyahhidratan.

Dr Khalis yang menyertai operasi menyelamat dan penjagaan kesihatan semasa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2021 berkata penyahhidratan adalah satu daripada isu kesihatan membimbangkan yang lazim terjadi semasa banjir kerana masalah akses kepada air bersih.

"Sebagai seorang profesional dalam penjagaan kesihatan, penyahhidratan adalah satu kebimbangan utama kepada individu yang terkesan banjir, terutamanya mereka yang bergelut dengan penyakit berpunca daripada makanan seperti keracunan makanan dan cirit-birit. Populasi rentan termasuk kanak-kanak, bayi dan warga emas berisiko tinggi kerana sensitiviti mereka terhadap kehilangan cecair.

Individu dengan keadaan kesihatan kronik, seperti kencing manis, masalah kegagalan jantung atau buah pinggang juga menghadapi risiko yang tinggi," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan SMC di sini pada Jumaat..

Dr Khalis berkata beberapa kajian telah mendapati pendedahan langsung atau tidak langsung kepada banjir boleh juga mengakibatkan kesan negatif terhadap kesihatan mental, termasuk gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), "psychological distress", kemurungan dan kerisauan, yang boleh mencecah tahap tinggi berbanding mereka yang tidak terkesan dengan banjir.

"Dengan bencana seperti banjir, simptom masalah kesihatan mental seperti tekanan, PTSD, kerisauan dan kemurungan menjadi lebih tersebar luas. Daripada pengalaman saya dengan banjir Taman Sri Muda ada pesakit yang simptom PTSD mereka berpanjangan sehingga beberapa bulan dan bertahun-tahun serta memberi kesan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah," katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr Lim berkongsi bahawa kes denggi dalam Malaysia juga menyaksikan peningkatan semasa musim tengkujuh kerana lebih banyak tempat ditakungi air.

Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan bahan penjauh nyamuk semula jadi yang menggunakan sari tumbuhan seperti serai wangi, kayu putih dan lain-lain minyak pati semasa tidur ataupun berada di luar rumah selain daripada memeriksa dan membuang air bertakung dengan kerap di kediaman masing-masing bagi mencegah penyebaran demam denggi.

"Dengan penyakit bawaan serangga seperti denggi , malah malaria yang boleh membawa maut atau ancaman kesihatan yang serius kepada pesakit, adalah amat penting untuk mendapatkan bantuan perubatan dan menjalani ujian jika anda mengalami demam panas, sakit sendi, kelesuan, mual dan muntah-muntah, sakit perut dan mudah mengalami pendarahan kerana ia boleh mengancam nyawa," katanya.

Dengan peningkatan risiko banjir dan isu-isu berkaitan kesihatan semasa musim monsun, kedua-dua doktor menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada mengambil air yang tidak dirawat, buah yang sudah dikupas dan makanan mentah serta mengamalkan amalan kebersihan yang baik dengan sering mencuci tangan dengan sabun dan membuang sampah dengan betul.

Dr Khalis dan Dr Lim berkata mereka yang mengalami demam, cirit-birit, muntah-muntah dan lain-lain masalah kesihatan seharusnya mendapatkan pemeriksaan kesihatan, walaupun selepas bencana.

Mereka berkata kanak-kanak juga seharusnya menjauhi air banjir untuk mengelakkan kecederaan dan penyebaran penyakit menerusi air yang tercemar dan bertakung atau daripada rodensia serta keselamatan individu-individu rentan termasuk mereka yang ada masalah kesihatan seperti kencing manis harus diutamakan.

"Dengan Malaysia bergelut dengan cabaran berulang-ulang daripada monsun, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan kepada kesihatan dan petua keselamatan yang mampu menjadi peralatan hebat untuk mengemudi perairan bergelora dengan daya pemulihan, persediaan dan tanggungjawab bersama untuk kesihatan kita," kata mereka.

-- BERNAMA