Skip to main content

Malaysia

Rakyat Malaysia peruntuk lebih lima jam sehari untuk kerja tidak berbayar - DOSM

PUTRAJAYA, 1 Mei -- Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika ditemubual Bernama di Kompleks C semalam.  Aplikasi 'OpenDOSM NextGen', platform yang menyediakan katalog data dan visualisasi kepada pengguna untuk menganalisis pelbagai jenis data, yang dilancarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023 membantu melonjakkan nama negara di persada antarabangsa dalam penilaian Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25.  Mengatasi 198 negara dengan skor keseluruhan 90 serta skor keterbuka
Mohd Uzir (foto) berkata dalam konteks antarabangsa, Malaysia merekodkan tahap penglibatan yang lebih tinggi dalam kerja domestik dan kerja penjagaan tidak berbayar berbanding purata negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). -Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia memperuntukkan 21.7 peratus daripada masa harian mereka atau purata 5 jam 12 minit sehari bagi kerja domestik dan kerja penjagaan tidak berbayar, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. 

Beliau berkata berdasarkan dapatan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025, individu berusia 45 hingga 54 tahun memperuntukkan masa paling tinggi untuk kerja tidak berbayar iaitu 5 jam 43 minit sehari, diikuti kumpulan umur 25 hingga 44 tahun (5 jam 35 minit) dan 55 hingga 64 tahun (5 jam 31 minit).

Sebaliknya, beliau berkata individu berumur 15 hingga 24 tahun memperuntukkan masa paling rendah, iaitu 3 jam 53 minit sehari.

"Ini mencerminkan tanggungjawab domestik dan penjagaan yang lebih besar dalam kalangan individu pada peringkat pertengahan kitaran kehidupan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata dalam konteks antarabangsa, Malaysia merekodkan tahap penglibatan yang lebih tinggi dalam kerja domestik dan kerja penjagaan tidak berbayar berbanding purata negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Beliau berkata wanita di Malaysia pula didapati memperuntukkan 6 jam 7 minit sehari atau 25.5 peratus daripada masa harian mereka bagi aktiviti berkenaan berbanding sekitar 17 peratus di negara anggota OECD, manakala lelaki memperuntukkan 18.1 peratus berbanding sekitar sembilan hingga 11 peratus di peringkat antarabangsa.

"Dapatan ini menunjukkan bahawa beban kerja tidak berbayar di Malaysia masih tinggi bagi kedua-dua jantina, dengan wanita terus memikul bahagian tanggungjawab yang lebih besar," katanya.

Mohd Uzir turut memaklumkan golongan bukan orang kurang upaya (OKU) memperuntukkan purata 5 jam 12 minit sehari bagi kerja tidak berbayar berbanding hanya 2 jam 59 minit dalam kalangan OKU.

“Walaupun tempoh masa yang diperuntukkan oleh golongan OKU adalah lebih rendah, mereka masih terlibat dalam aktiviti domestik dan penjagaan, sekali gus menekankan kepentingan penyediaan sistem sokongan sosial yang lebih inklusif,” katanya.

Beliau berkata statistik berkenaan menyediakan asas penting untuk memperkukuh dasar berkaitan pembangunan sosial, keseimbangan kerja-kehidupan dan kesaksamaan gender, di samping mengiktiraf nilai kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta produktiviti negara.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement