Rakyat Malaysia sertai program pendidik STEM antarabangsa, semai minat penerokaan angkasa

Seorang rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada 38 warga pendidik menyertai International Teacher Liaison Program edisi ke-26 anjuran Space Foundation di Colorado Springs, Amerika Syarikat.
KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kalinya terpilih menjadi sebahagian daripada kumpulan elit pendidik antarabangsa dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) anjuran Space Foundation.
Sejumlah 38 tenaga pengajar menyertai International Teacher Liaison Program edisi ke-26 itu, dengan enam daripada mereka merupakan warganegara Malaysia, Australia, Brazil, India, Kenya dan Nigeria.
Space Foundation diasaskan pada tahun 1983 merupakan pertubuhan bukan keuntungan (NGO) berpusat di Amerika Syarikat yang menumpukan kemajuan pendidikan sains dan teknologi angkasa lepas.
Program International Teacher Liaison yang diwujudkan sejak 2004 itu menghimpunkan lebih 400 pendidik dari 25 negara seluruh dunia dan 40 negeri di Amerika Syarikat.
Progam berkenaan berperanan sebagai rangkaian sejagat untuk menyemai minat generasi muda terhadap penerokaan angkasa, inovasi dan pembelajaran berasaskan sains.
Sementara itu, Pengarah Kanan Discovery Center Space Foundation, Heidi Vasiloff berkata, kumpulan pendidik terbaharu yang juga digelar Flight-26 itu menghimpunkan warga pendidik STEM paling berdedikasi dan inovatif dari seluruh dunia.
"Mereka (peserta) komited menjadi pendidik berkaliber memajukan pengajian bidang angkasa dan STEM di peringkat global, sekali gus membentuk generasi peneroka masa hadapan.
"Mereka membawa keajaiban dan ketelitian pembelajaran berasaskan angkasa ke dalam bilik darjah. Space Foundation teruja mengalu-alukan pendidik hebat ini ke dalam kumpulan elit kami,” katanya.
Pemilihan pendidik dibuat menerusi proses penilaian ketat oleh panel terdiri daripada wakil industri angkasa serta pihak ketenteraan.
Pendidik terpilih akan menerima sokongan dalam bentuk sumber kurikulum, latihan pembangunan profesional, selain peluang membentuk aktiviti pembelajaran secara praktikal serta akses kepada pakar industri angkasa terkemuka.
Kumpulan pendidik Flight 2026 akan menerima pengiktirafan rasmi dalam acara tahunan iaitu Space Symposium anjuran Space Foundation yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 16 April ini di Colorado Springs, Amerika Syarikat.
Selain majlis pengiktirafan, para pendidik akan menyertai sesi ucaptama, jaringan profesional dan perbincangan khusus berkaitan masa hadapan pendidikan dan industri angkasa.
Pengiktirafan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan negara kini menjadi sebahagian daripada generasi peneroka dan penginovasi masa hadapan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


