KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengambil serius insiden rakyat Malaysia terkandas di Filipina susulan isu sijil vaksinasi COVID-19 digital yang tidak diiktiraf pihak berkuasa negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau tidak menyangka insiden sedemikian boleh berlaku, justeru akan memainkan peranannya dengan  membawa isu  berkenaan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Jelasnya lagi, walaupun kini  Malaysia dan Filipina telah mencapai kata sepakat untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas namun perkara berkenaan tetap perlu dibahas agar menjadi pengajaran pada masa akan datang.

"Saya akan memainkan peranan saya dan insya- Allah saya akan bawa perkara ini esok kepada Kabinet.

"Ia bukanlah berbincang, namun lebih kepada memaklumkan. Pada masa sama, saya juga mengharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi kepada negara kita.

"Ia menjadi satu peringatan untuk kami bersama dalam kerajaan. Sesungguhnya, saya sama sekali tidak terfikir perkara seperti ini boleh terjadi dan ia akan menjadi satu panduan di masa akan datang," katanya.

Terkandas di Filipina | Tujuh rakyat Malaysia dibenar masuk

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kalendar Program 2022 Balai Seni Negara serta Penyerahan Baucar Diskaun Pembelian Karya Seni Visual ‘Buy Art Malaysia’ di Balai Seni Negara pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Seri Dayang Fatimah Tom Abang Saufi dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad.

Sebelum ini, dilaporkan Kedutaan Besar Malaysia membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksinasi digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

Pengembara yang terjejas memberitahu media Malaysia bahawa pasport mereka telah dirampas dan diberitahu mereka akan dihantar pulang pada Selasa.

Mereka juga terpaksa berada di lapangan terbang buat sementara waktu kerana tiada kemudahan hotel disediakan.