KUALA LUMPUR: Ancaman terhadap perpaduan masyarakat perlu dilihat sebagai ‘common enemy’ atau musuh bersama rakyat Malaysia, khususnya dalam mendepani cabaran media sosial yang berupaya mencetuskan garis pemisah antara kaum, agama dan wilayah.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ‘common enemy’ dimaksudkan bukanlah mana-mana kaum, agama atau kelompok masyarakat, sebaliknya segala perkara yang boleh menjejaskan keseimbangan perpaduan negara.
Menurutnya, kemunculan pelbagai platform media sosial membuka ruang penyebaran naratif tidak sihat yang berpotensi memecah-belahkan masyarakat sekiranya gagal ditangani secara berhemah.
“Kalau ada algoritma tertentu yang cuba menerapkan elemen pemisahan sama ada dalam bentuk perbandingan, misalnya antara negeri dan negeri, kaum dan kaum, agama dan agama, bangsa dan bangsa, maka mereka ini adalah common enemy kita,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI, di sini, pada Rabu.
Tambah Nirwandy, masyarakat perlu membina satu visi bersama yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebagai asas dalam memperkukuh perpaduan.
“Sekiranya tidak ada satu bentuk perpaduan atau penyatuan, tidak mustahil kita kembali dijajah secara psikologi, kognitif, serta pemikiran.
"Kemudian akan ada budaya pemisahan yang menghilangkan nilai teras kemasyarakatan dan perpaduan dalam konteks media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Nirwandy berkata, media sosial perlu dimanfaatkan sebagai medan moden untuk menyemarakkan semangat perpaduan, khususnya dengan menghasilkan kandungan yang meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Katanya, setiap rakyat mempunyai peranan dalam membentuk ‘formula perpaduan’ masing-masing, termasuk menerusi perkongsian kandungan positif yang menggambarkan kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Tegas Nirwandy, sambutan Hari Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha berterusan mempertahankan keamanan, kedaulatan dan keharmonian negara.