Isu-isu besar berkaitan penyelewengan seperti kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga pembelian hartanah di luar negara oleh MARA Inc Sdn Bhd menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti UMNO.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan perlu jelaskan isu-isu yang telah timbul supaya keraguan terhadap kepimpinannya dapat dihapuskan.

"Apabila sudah dijelaskan, tohmahan yang dilontar kepadanya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) akan dapat dihapuskan," kata Nur Jazlan.

Tambah beliau, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pihaknya akan mencari kebenaran dan akan menjelaskan kepada rakyat secara telus.

Nur Jazlan merujuk kepada siasatan yang dibuat oleh PAC ke atas syarikat 1MDB.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Saifuddin Abdullah pula membangkitkan soal kepercayaan rakyat kepada UMNO yang semakin berkurangan sebagai menyukarkan masyarakat untuk mempercayai kerajaan secara keseluruhannya.

"Antara persoalan yang berbangkit adalah kredibiliti empat ahli panel dalam Pasukan Petugas Khas itu serta ketelusan siasatan tersebut.

"Adakah siasatan dibuat hanya untuk menunjukkan suatu siasatan dijalankan, ataupun melengah-lengahkannya sehingga PRU ke-14?" tegas Saifuddin.

Sebelum ini, pimpinan tertinggi UMNO menyatakan kepentingan untuk mempercayai kewibawaan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap Najib.

Baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah dilantik menganggotai Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan mengenai isu 1MDB.