Rakyat Sabah tidak perlu bimbang mahupun takut akan tahap keselamatan mereka ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penceroboh bersenjata Selatan Filipina dan polis di Lahad Datu.

Ini kerana, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak polis dan tentera akan memikul tanggungjawab memastikan keselamatan penduduk sehingga pencerobohan itu berakhir.

Najib berkata, serangan-serangan kumpulan penceroboh hanya terhad di tiga kawasan utama iaitu di Lahad Datu, Semporna dan Kudat dan tidak berlaku di kawasan lain.

"Pertamanya kejadian-kejadian yang berlaku ini terhad kepada tiga tempat sahaja di Semporna, Lahad Datu, dan Kudat. Ia tidak berlaku di tempat-tempat lain, kalau sekiranya ada kabar angin maka dianya tidak berasas tidak berpandu kepada hakikat sebenarnya.”

Tegas Najib, pihak keselamatan cukup bersedia menjalankan operasi dan menumpaskan penceroboh di ketiga-tiga tempat itu.

Ini terbukti apabila kekuatan anggota polis telah ditambah manakala dua batalion tentera dikerah ke tempat kejadian sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada masa sama, Najib juga yakin penduduk Sabah tidak selesa dan sukar menerima kedatangan kumpulan penceroboh bersenjata di kampung mereka.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa penduduk kampung Senallang Lama, Semporna, terdorong untuk menahan dan memukul sehingga mati seorang penceroboh bersenjata itu di kampung mereka.

Najib berkata, beliau mendapat maklumat tersebut daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Afdal yang juga ahli parlimen Semporna, mengenai kejadian itu.