Rakyat Terengganu berpeluang memiliki rumah kediaman sendiri melalui pembinaan rumah mampu milik dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata berdasarkan perancangan yang telah dibuat, sebanyak 300 buah akan dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan harga RM68,000 walaupun kos pembinaan adalah RM140,000.

Bagi rumah mampu milik yang dikenali sebagai MyBN Home akan dijual dengan harga RM20,000 meskipun kos pembinaannya sebanyak RM40,000, katanya.

"Untuk itu kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak DUN sama ada dalam pemilihan tapak rumah mahupun cara dan bagaimana rumah itu hendak dibina serta diagihkan," katanya kepada media selepas mengadakan Majlis Temu Mesra dengan kepimpinan J3K, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru daerah Besut di Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya syarat bagi memiliki rumah mampu milik itu akan tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh pihak DUN manakala bagi rumah PR1MA ia seperti syarat yang ditetapkan sebelum ini.

Ahmad Razif berkata bagi memastikan pembinaan rumah mampu milik dapat dimiliki rakyat sebelum akhir tahun ini, kerajaan negeri telahpun meluluskan peruntukkan sebanyak RM1 juta bagi setiap DUN untuk melaksanakannya.

Beliau berharap mereka yang tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri supaya segera menghubungi pihak DUN masing-masing bagi mendapatkan keterangan dan borang permohonan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.8 juta untuk diagih-agihkan kepada 504 buah kelab guru di seluruh Terengganu selain daripada peruntukkan sebanyak RM2,000 untuk setiap PIBG di negeri ini.

Katanya, pemberian kepada setiap kelab guru itu merupakan yang pertama kali dilakukan oleh kerajaan negeri sebagai mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh guru dalam memastikan keputusan peperiksaan awam di sekolah-sekolah sentiasa meningkat setiap tahun.

"Saya amat menghargai jasa guru kerana selain daripada peranan yang dimainkan oleh J3K dan PIBG...banyak sekolah telah berjaya mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan setiap tahun ini melalui usaha yang dilakukan oleh para guru sekolah," katanya.

-- BERNAMA