Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Salleh Ismail percaya serangan ke atas Lahad Datu telah dirancang lebih 10 tahun lalu bedasarkan tawaran kad pengenalan khas tentera kesultanan kepada rakyat Sabah.

Komplot berkenaan terbongkar selepas insiden serangan pengganas Sulu ke atas Lahad Datu dan Semporna pada Februari lalu dimana pengganas didapati memiliki kad khas dan berkhidmat untuk Jamalul Kiram III.

“Pada tahun awal 2000, Sultan Sulu sudah mula mengambil seberapa ramai rakyat Sabah berketurunan Sulu untuk menjadi rakyat Kiram untuk dijadikan tentera dengan menawarkan mereka kad pengenalan khas bagi mereka yang mahu menjadi rakyat kepada Sultan Sulu,” kata Salleh.

Jelasnya, walaupun mereka datang dengan jumlah yang kecil, jumlah mereka boleh bertambah dengan mendadak sekiranya keseluruhan rakyat Sabah khususnya berbangsa Sulu bersetuju membantu mereka.

Mengulas isu yang sama, bekas Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zaini Mohd Said yang tidak menolak kemungkinan terdapat pihak lain yang mendalangi serangan.

"Teori dan kemungkinan, adakah campur tangan pihak-pihak lain? Saya lebih berat mengatakan ya dan memang ada kerana pelan yang dijalankan begitu terancang dan memerlukan dana,” kata Zaini dengan yakin.

Perkara berkenaan dibangkitkan pada Forum Keselamatan Dan Ketahanan Negara di Taman Melawati pada malam Isnin.

Turut dijemput sebagai ahli panel, mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menggesa rakyat supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi terhadap insiden yang masih berlangsung di Sabah.

Saksikan pengisian penuh forum berkenaan menerusi Astro Awani.