PUTRAJAYA: Satu rang undang-undang (RUU) sedang dirangka bagi merealisasikan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Jemaah Menteri telah memberi persetujuan kepada cadangan diadakan RUU bagi menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, beliau berkata ketika ini terdapat 23 agensi bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), 14 agensi di Kompleks Sultan Abu Bakar dan sembilan di Rantau Panjang.

"Tujuan kerajaan mewujudkan SBA merupakan keputusan yang betul supaya sistem penyampaian menjadi cekap dan pantas, meningkatkan koordinasi antara agensi dan menambah baik isu integriti," katanya.

Susulan keputusan Jemaah Menteri itu, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulakan kerja bagi merangka RUU berkenaan dan ia dijangka dibentang di Parlimen suku pertama tahun ini.

Penubuhan SBA diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

-- BERNAMA