KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan bagi Sektor Pembuatan yang akan dilancarkan pada September 2023, boleh memanfaatkan perniagaan hijau yang semakin berkembang di Asia Tenggara dianggarkan bernilai US$200 bilion (US$1=RM4.67) menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata rangka kerja itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu standard, sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti dan mekanisme pasaran.
"Selain itu, kita juga ingin mempromosikan dan memupuk pembuatan hijau. Untuk makluman, perniagaan hijau di Asia Tenggara menyediakan peluang dalam anggaran sehingga US$200 bilion menjelang 2030," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Perbankan Malaysia Kedua di sini, hari ini.
Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM).
Beliau berkata rangka kerja itu bertujuan menggalakkan sektor pembuatan menerima amalan ESG dengan menyediakan garis panduan dan pemboleh yang jelas untuk syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Institusi kewangan
Tengku Zafrul mengalu-alukan institusi kewangan untuk mempertimbang memperuntukkan sumber kepada industri, pengilang dan pengeksport dalam bidang antaranya penyahkarbonan sektoral, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen, penangkapan karbon berskala besar, penggunaan dan penyimpanan dan infrastruktur hijau.
Menurutnya, hanya apabila terdapat usaha bersepadu awam-swasta barulah sesebuah negara boleh menggerakkan pembiayaan atau modal yang serius ke arah penyahkarbonan ekonomi secara berkesan dan mencapai agenda ESG, sambil menyokong pertumbuhan secara meluas.
"Kita boleh dan mesti cuba mengubah kesan perubahan iklim yang berpotensi membawa malapetaka ke atas Malaysia.
"Untuk itu, saya amat berharap industri kewangan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meningkatkan usaha bersama ini dengan menjadi lebih berani dan agresif dalam pembiayaan dan pelaburan ESG, terutamanya untuk PKS dalam rantaian nilai pembuatan, pelaburan dan perdagangan kita."
Menteri itu seterusnya menambah Malaysia komited terhadap sasarannya untuk menjadi sifar bersih menjelang 2050, dan banyak dasar lain sejajar dengan sasaran negara yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari dan ESG.
Sebagai contoh, kerajaan telah memperkenalkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau, Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau serta Dasar Automotif Nasional 2020 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, yang mana kerajaan juga telah memperkenalkan insentif cukai untuk pengeluar peralatan mengecas kenderaan elektrik.
PKS
Berkenaan PKS pula, Tengku Zafrul berkata peranan mereka sebagai pemacu masa depan yang penting bagi pertumbuhan ekonomi menyeluruh dan inklusif adalah berisiko jika mereka tidak dapat mematuhi keperluan ESG.
Menurutnya, pada 2021, terdapat 1.23 juta PKS, menyumbang 97.4 peratus daripada semua perniagaan berdaftar di Malaysia.
Walaupun jumlahnya begitu banyak, perusahaan mikro dan PKS menyumbang hanya 37.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar, 11.7 peratus daripada jumlah eksport dan 47.8 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia.
Ini, secara amnya lebih rendah berbanding angka purata Asia Tenggara.
Katanya Asia Tenggara berhadapan dengan cabaran ESG utama dan saling berkait, termasuk kekurangan penjajaran dasar dan penyelarasan merentas negara di rantau ini untuk menangani risiko dan cabaran ESG.
Tengku Zafrul berkata MITI menyedari cabaran utama yang dihadapi PKS dalam menerima ESG iaitu isu kos, kerumitan dan kapasiti serta keutamaan bersaing.
"Pembiayaan untuk membantu PKS ini menerima pertimbangan ESG akan membantu mereka kekal dalam rantaian bekalan utama yang lebih banyak akan dipacu ESG pada tahun-tahun akan datang."
Selain itu, teknologi serta data yang konsisten, telus dan boleh dipercayai memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memacu inovasi, tetapi juga dalam memudahkan syarikat termasuk PKS, untuk mematuhi keperluan ESG, jelasnya.
Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Tengku Zafrul berkata adalah penting untuk menyediakan akses pasaran kepada PKS terutamanya daripada institusi kewangan supaya PKS bersedia untuk memenuhi piawaian ESG yang telah ditetapkan dalam industri tertentu.
Bagi memastikan PKS mendapat bantuan yang mereka perlukan, beliau berkata MITI akan mengadakan pelbagai sesi penglibatan dengan institusi kewangan.
"Yang pertama telah bermula minggu lepas tentang bagaimana kita juga boleh memastikan bahawa terdapat cara yang lebih berstruktur, lebih formal untuk bekerja dengan mereka.
"Kita tidak mahu ia bersifat ad hoc. Kita mahu menghasilkan rangka kerja yang betul, satu proses mengenai ESG, bagaimana bank boleh membantu PKS.
"Selain itu, kita juga memasukkan beberapa perkara ini ke dalam Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030," kata Tengku Zafrul.
Beliau menambah sebaik sahaja Dasar Karbon Negara dimuktamadkan dan diluluskan oleh Kabinet dalam masa terdekat, agensi dan syarikat kerajaan lain kemudian boleh merangka langkah seterusnya berdasarkan pelan hala tuju, selaras dengan sasaran mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar seawal 2050.
Ini juga termasuk memperkenalkan cukai karbon, yang perlu dilakukan secara berperingkat.
"Dasar itu perlu diperkenalkan dahulu. Kita tidak ada garis masa kerana ia di bawah Kementerian Kewangan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jun 27 2023
Tengku Zafrul berkata, rangka kerja itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu standard, sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti dan mekanisme pasaran.- Gambar fail/WEF
BNM umum penyelesaian kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi - Fahmi
Bank pusat itu masih memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.
Raja Charles III lawat mercu tanda ikonik Battersea Power Station
Raja Charles III meluangkan masa melawat Battersea Power Station, lokasi ikonik di tebing Sungai Thames, pada Khamis untuk menyaksikan pelbagai aktiviti sempena musim perayaan dan bertemu pemilik perniagaan kecil serta komuniti setempat.
Jualan kenderaan hibrid elektrik dan plug-in sepenuhnya meningkat
Jualan global bagi kenderaan jenis hibrid elektrik dan plug-in sepenuhnya meningkat untuk bulan ketujuh berturut-turut pada bulan November.
Polis tahan Papagomo berkaitan kes tipu kutipan dana
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes tipu.
Kanada akan bertindak sekiranya Trump teruskan ancaman tarif
Kanada berupaya memotong bekalan tenaga ke beberapa bahagian di Amerika Syarikat jika Presiden Terpilih Donald Trump meneruskan ancaman mengenakan tarif ke atas Kanada.
Sidang kerja ekonomi pusat China atur pelan kerja 2025
Presiden China Xi Jinping dalam ucapannya pada sidang itu merumuskan kerja ekonomi China sepanjang 2024, di samping menganalisis situasi ekonomi semasa, selain mengaturkan kerja ekonomi pada 2025.
Gaji penengah Malaysia belum cukup tangani cabaran kos sara hidup
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali, walaupun gaji penengah rakyat, RM2,700 kelihatan memadai di atas kertas, tetapi hakikatnya, lebih separuh rakyat Malaysia bergelut dengan bebanan hidup dan sukar mencapai kualiti asas hidup yang baik. Katanya, masalah ini perlu diatasi secara menyeluruh untuk memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat pembangunan negara.
Prospek neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025, mencerminkan kekuatan lembaran imbangan mereka dan prospek pertumbuhan stabil dan sebahagian besarnya mengimbangi turun naik dan ketidaktentuan global terhadap pembangunan ekonomi dan geopolitik.
Pemulihan sektor pelancongan, permintaan pengguna dijangka meningkat
Permintaan pengguna dijangka akan meningkat pada tahun hadapan susulan pemulihan sektor pelancongan.
Keuntungan industri penerbangan global dijangka terus kukuh pada 2025
Industri penerbangan global diunjur memperkukuh keuntungan pada 2025 dengan keuntungan bersih 36.6 bilion Dolar Amerika atau RM161.8 bilion.
Rangka Kerja i-ESG: Bantu sektor pembuatan bersedia tembusi pasaran ESG
Rangka Kerja i-ESG menyediakan sektor pembuatan negara untuk mendepani ESG.
Rangka kerja ESG sektor pembuatan boleh manfaat peluang bernilai AS$200 bilion - Tengku Zafrul
Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan bagi Sektor Pembuatan yang akan dilancarkan pada September 2023, boleh memanfaatkan perniagaan hijau.
Rangka kerja i-ESG sektor perkilangan dijangka siap pada 2024 - MITI
Rangka Kerja Kebangsaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) untuk sektor perkilangan bagi menggalakkan pelaksanaannya, dijangka siap pada 2024.