KUALA LUMPUR: Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Syarikat (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLC) Kerajaan (GLIC) kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN). 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan skop baharu korporat, ia juga dapat memanfaatkan lebih ramai kumpulan B40 dan golongan tumpuan tertentu. 

Dengan skop baharu korporat itu katanya, GDRN akan menerajui usaha tanggungjawab  sosial korporat secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC dan pada masa yang sama memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan.

“Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan.

“Jalinan Sejahtera pula mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka GLC 2022 di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail Sabri berkata, skop GDRN akan diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

Ismail Sabtu berkata, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat benih cengal yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Katanya, dalam jangka masa panjang, Malaysia bakal  menikmati manfaat benih itu yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai ekonomi yang makmur, inklusif dan mampan bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia.