KUALA LUMPUR: Fitch Ratings (Fitch) percaya kerajaan berkemungkinan besar bertindak memperluas rasionalisasi subsidi dengan tumpuan awal membabitkan elektrik dan diesel dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober depan, susulan keputusan status quo dalam Pilihan Raya Negeri, baru-baru ini.

PRN yang berlangsung pada 12 Ogos lepas menyaksikan gandingan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mengekalkan dominasi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) terus menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Agensi penarafan itu menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah bertindak mengurangkan subsidi elektrik bagi pengguna bukan domestik dan kelompok pengguna tenaga yang tinggi, sekali gus tidak menjejaskan majoriti isi rumah lain.

"Sebahagian besar subsidi makanan dan bahan api yang tinggi telah dikekalkan pada 2023. Sebarang langkah pemansuhan subsidi secara meluas pula dilihat sebagai tidak popular, terutamanya kerana ini boleh meningkatkan lagi tekanan terhadap inflasi dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Namun, Fitch menganggap bahawa keputusan pilihan raya tersebut akan mendorong kerajaan untuk mengutamakan aspek lain agenda MADANI, termasuk usaha mengawal kos sara hidup, meningkatkan pertumbuhan gaji serta menambah baik aspek kebajikan rakyat.

"Sebagai contoh, kerajaan juga baru-baru ini telah membincangkan rancangan untuk memperkenalkan garis panduan bagi kenaikan gaji yang bersifat sukarela serta berkaitan dengan produktiviti," katanya.

Selain itu, Fitch berpendapat sekiranya pihak berkuasa meneruskan rancangan untuk melaksanakan pembaharuan subsidi tertentu seperti dijangkakan, ini akan turut disusuli dengan bantuan berikutan kerajaan masih mempunyai ruang untuk menampung perbelanjaan terbabit.

Menurutnya, hasil Malaysia juga berkembang kukuh dalam tempoh enam bulan pertama 2023 dengan peningkatan 19.4 peratus tahun ke tahun manakala perbelanjaan menokok 10.6 peratus tahun ke tahun.

"Kami percaya sasaran defisit kerajaan Persekutuan sebanyak lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2023 dapat dicapai walaupun dalam keadaan perbelanjaan tambahan yang sederhana," katanya.

Fitch berkata, selepas mengesahkan penarafan Malaysia pada BBB+/Stabil Februari lepas, ia menjangkakan bahawa pihak berkuasa akan mengurangkan defisit kerajaan Persekutuan secara beransur-ansur kepada kira-kira 4.5 peratus daripada KDNK pada 2023-2025.

"Kami telah pun melakukan semakan semula kepada 4.3 peratus, namun unjuran kami masih lebih daripada sasaran 4.1 peratus yang dinyatakan oleh kerajaan bagi tempoh Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2023-2025," katanya.

-- BERNAMA