DUBLIN: Pemain Republik Ireland akan memakai lilitan hitam pada lengan semasa perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Israel pada Ahad sebagai tanda penghormatan kepada semua mangsa yang terkorban dalam konflik di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI), David Courell, mengesahkan perlawanan di Debrecen, Hungary itu akan diteruskan selepas majoriti besar pemain bersetuju untuk beraksi meskipun terdapat perdebatan mengenai konflik berkenaan.
Menurut beliau, selain memakai lilitan hitam, skuad Ireland turut merancang beberapa lagi simbolik penghormatan semasa perlawanan menentang Israel dan aksi timbal balik minggu depan.
Kontroversi menyelubungi pertemuan kedua-dua pasukan sejak mereka diundi dalam Kumpulan B3, dengan sebahagian pihak menggesa Ireland memboikot perlawanan susulan perang yang berterusan di Gaza.
Courell berkata seorang pemain telah menarik diri daripada skuad kerana tidak selesa untuk mengambil bahagian dalam perlawanan itu.
Laporan media mengenal pasti pemain berkenaan sebagai penjaga gol Gavin Bazunu, yang kemudian menjelaskan keputusannya menerusi media sosial.
Beliau berkata keputusan itu dibuat atas kepercayaan peribadinya bahawa pembunuhan orang awam yang tidak berdosa adalah salah.
"Pendirianku bukan menentang rakyat Israel atau komuniti Yahudi, tetapi terhadap kekejaman yang berlaku di rantau itu," katanya.
Sebelum keputusan untuk meneruskan perlawanan dicapai, pemain Ireland dilaporkan mengadakan perbincangan selama beberapa jam bersama pegawai pasukan dan FAI.
Courell berkata pelbagai pandangan dikemukakan sepanjang perbincangan tersebut dan persatuan menghormati hak setiap pemain untuk mempunyai pendirian masing-masing.
Perlawanan itu dijadual berlangsung di Hungary kerana Israel tidak dapat menjadi tuan rumah di gelanggang sendiri berikutan situasi keselamatan semasa.