NEW YORK: Jutaan penduduk di timur laut Amerika Syarikat (AS) berdepan gangguan akibat ribut kuat nor'easter yang menyebabkan banjir pesisir pantai, bekalan elektrik terputus, kelewatan penerbangan serta pembatalan pelbagai acara besar.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) memaklumkan ribut itu membawa hujan lebat, angin kencang dan keadaan laut berbahaya ke beberapa kawasan termasuk New York City dan Boston pada Sabtu.
Susulan keadaan itu, kerajaan negeri New York dan New Jersey mengisytiharkan darurat ketika beberapa kawasan pantai dilanda banjir akibat limpahan air laut. Cuaca buruk turut diramalkan melanda kawasan dari Virginia hingga Maine.
Ribut berkenaan menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas dengan lebih 100,000 kediaman kehilangan bekalan kuasa, kebanyakannya di wilayah timur laut negara itu.
Sektor pengangkutan turut terjejas apabila lebih 2,400 penerbangan mengalami kelewatan manakala hampir 1,200 lagi dibatalkan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menasihatkan orang ramai supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Di New Jersey, beberapa komuniti pesisir pantai termasuk Surf City dan Manasquan dilaporkan ditenggelami air, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa fenomena air pasang yang dipengaruhi bulan purnama dijangka memburukkan lagi keadaan banjir.
Gabenor New Jersey, Mikie Sherrill, menggesa penduduk mengambil serius ancaman ribut tersebut dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Di New York pula, pihak berkuasa memberi amaran mengenai tiupan angin sehingga 86 kilometer sejam yang berpotensi menumbangkan pokok serta merosakkan talian elektrik.
Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, menasihatkan penduduk supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan tidak meredah kawasan banjir.
Keadaan cuaca buruk itu turut memaksa pembatalan beberapa acara sukan dan hiburan utama, termasuk konsert penyanyi Britain Ed Sheeran di Stadium Gillette berhampiran Boston atas faktor keselamatan.
Selain itu, perlawanan bola sepak profesional antara Red Bull New York dan St Louis City SC serta Festival Global Citizen di Central Park, New York turut dibatalkan.